Skip to main
Logo Malaysiakini

'Silap tulis, orang tanya apa bodoh sangat menteri PH?'

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Anggota Majlis Tindakan Ekonomi Rafidah Aziz menegur tindakan menteri yang gemar mengumumkan dasar negara melalui media sosial.

Katanya, negara tidak boleh ditadbir melalui media sosial seperti di Twitter dan Instagram.

“Negara tak ditadbir dengan Twitter dan media sosial. Bagi penjelasan boleh, tapi nak umum dasar janganlah melalui media sosial.

“Orang tak boleh nak faham. Alaa... 40 perkataan (untuk hantaran Twitter), mana nak boleh terang?

“Silap-silap tulis, orang tanya, apa bodoh sangat?” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Bicara Minda di Dewan Karangkraf, Shah Alam petang tadi.

Katanya, perkara tersebut pernah disuarakannya dalam satu ceramah khas kepada menteri yang dan timbalan menteri pada Disember tahun lalu.

Ceramah selama sejam yang turut dihadiri Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad digunakan bagi berkongsi pengalamannya selama lebih 50 tahun.

“Saya cakap terus terang jangan tadbir negara melalui media sosial, kedua jangan umum perkara remeh-temeh (sebelum) berbincang dahulu dengan kawan-kawan, dengan pihak stake holder (pemegang taruh).

“Supaya melalui maklum balas yang diterima, bila sekali umum tu, berkesan, semua orang boleh terima.

“Tapi keghairahan dia nak umum sebelum buat kajian, masalahlah kita. Perdana Menteri kena selamatkan awak, kawan-kawan kena selamatkan awak. orang macam saya pun kena pula bohong sunat kadang-kadang untuk menyelamatkan dia,” katanya.

Rafidah bagaimanapun menamakan sebarang menteri dalam program itu.