Skip to main
Logo Malaysiakini

'Tuan macam mana kalau sapu longkang orang?'

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Anggota Majlis Tindakan Ekonomi Negara, Rafidah Aziz, berpendapat kerajaan perlu dibenarkan untuk membangunkan negara tanpa dikusutkan dengan memikirkan golongan tertentu.

Berucap pada program Bicara Minda di Shah Alam petang tadi, Rafidah mengeluarkan pendapat tersebut apabila ditanya moderator Johan Jaaffar tentang isu ketuanan Melayu yang kembali menjadi topik hangat sejak setahun kebelakangan ini.

“Macam manalah kita kata kita tuan apabila kita menyapu orang punya longkang? Bicara minda, bolehlah (rasa) ‘tuan’, bicara hati mengatakan: mengapalah aku macam ini?.

“[...] Minta maaf saya cakap, maknanya dia lagi nak (lebih) baik, kan?

“Tapi kalau nak baik lagi daripada itu tarafnya, maka hendaklah budaya yang membenarkan kerajaan kita membawa pembangunan tanpa kusut nak fikirkan orang itu atau orang ini,” katanya lagi.

Katanya, golongan muda Melayu kini tidak lagi menganggap isu ketuanan dan keistimewaaan bangsa Melayu sebagai isu yang terlalu besar.

Malah, katanya, golongan itu sedar akan keupayaan mereka untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah - bukan saja dalam kalangan rakyat Malaysia, malah rakyat luar negara.

Tiada maaf bagimu

“Maka gembiralah kita tengok, inilah harapan kita besok. Yang mana kecemerlangan dia semua orang boleh tumpang.

“Apatah lagi (dalam kalangan) kaum Melayu, kan. Tapi janganlah cara kita emosi (berkenaan) hak (itu),” katanya lagi.

Dalam jawapannya juga, Rafidah turut menegur masyarakat sekarang yang terlalu memanjakan anak-anak sehingga generasi muda tidak lagi tahu erti usaha, dan lebih gemar meminta-minta.

Selain itu, beliau turut menjawab tuduhan sesetengah pihak tentang jolokan Queen of AP yang dikaitkan dengannya.

Jolokan itu antara lain mendakwa Rafidah mampu menjadi kaya kerana memegang urusan pengeluaran permit mengimport kenderaan (AP) ketika memegang jawatan sebagai menteri industri dan perdagangan antarabangsa dulu.

AP ialah lesen import dan eksport yang dikeluarkan oleh agensi pengeluar permit bawah Akta Kastam 1967.

Jelas Rafidah, pada zamannya beliau menghentikan pengeluaran AP untuk kereta baik pulih (reconditioned) kerana tidak menepati kriteria ditetapkan kerajaan.

“Dulu tak ada media sosial, dan saya tak kuasa nak membanggakan diri.

"Saya masuk saja (dalam kementerian) saya tarik 100 lebih pemegang permit. Itu agaknya (sebab) orang Umno benci pada saya.

“[...] AP dijualnya. Kita suruh jual kereta, dia jual AP. Saya tarik diam-diam. Ini setiausaha saya depan ni ha, dia tahulah. Saya cakap terus terang,” jelasnya.


Baca PM mahu nama syarikat tak layak dapat AP


Namun, katanya, selepas dia berhenti daripada menjawat jawatan menteri, isu AP kembali kedengaran.

“Selepas itu, saya berhenti, saya dengar, orang dapat beribu-ribu AP. AP recond. Haa.. ini yang bersepah itu agaknya.

“Semasa saya, jangan cakap. Sebab itu saya cakap tiada maaf bagimu kalau ada orang yang mulut gatal ni.

“Itu orang politiklah itu, tak siasat habis, kan? Berdosa tau kalau tak pegang amanah,” katanya lagi.

Rafidah memegang jawatan menteri industri dan perdagangan antarabangsa sejak 1987 sebelum diganti Muhyiddin Yassin pada 2008.