Skip to main
Logo Malaysiakini

Mujahid: Prokhas tak urus aset Tabung Haji

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PARLIMEN | Prokhas Sdn Bhd berperanan menjalankan proses rehabilitasi kesemua aset Lembaga Tabung Haji (TH) yang tidak menguntungkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Muhajid Yusof hari ini.

Beliau menegaskan syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) itu tidak menguruskan aset dan harta TH, sebaliknya harta itu diuruskan oleh syarikat tujuan khas (SPV) Urusharta Jamaah Sdn.Bhd (UJSB) yang mempunyai kuasa eksekutif.

“Keputusan semua akan kembali pada ahli lembaga pengarah SPV iaitu Urusharta Jamaah,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Isu berkenaan dibangkitkan blok pembangkang yang mendakwa aset TH dikawal oleh ​​​​​​​bukan ​​​​​​​Islam ​​​​​​​yang diketuai Chen Yin Heng selaku ketua pegawai eksekutif Prokhas.

Mujahid berkata Lembaga Pengarah UJSB terdiri daripada antaranya ketua setiausaha perbendaharaan sebagai pengerusi UJSB Ahmad Badri Mohd Zahir dan Rashidah Mohd Sies selaku setiausaha bahagian syarikat pelaburan kerajaan.

Dalam pada itu, Mujahid berkata pengagihan hibah TH akan dilakukan setelah semakan terhadap kedudukan kewangan bagi tahun 2018 dimuktamadkan.

“Dengan kata lain, tidak lagi dimuktamadkan kerana kita masih lagi terikat dengan pelbagai kekangan untuk memastikan kedudukan kewangan yang berakhir 2018 mematuhi sepenuhnya Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia iaitu polisi tentang rosot nilai," katanya.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan usul menjunjung ​​​​​​​kasih titah Yang di-Pertuan Agong.

-Bernama