Skip to main
Logo Malaysiakini

Gelaran 'penumpang' untuk menteri tak berprestasi – Mat Hasan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PRK RANTAU l Calon BN Mohamad Hasan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau memberitahu istilah “penumpang” yang beliau gunakan sebelum ini terhadap menteri-menteri Pakatan Harapan bukan bersifat perkauman.

Sebaliknya, katanya, ia merujuk kepada menteri yang tidak menunjukkan prestasi.  

Berucap di Majlis Mesra Bersama Tok Mat di Kampung Bemban semalam, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata pemimpin PH sengaja menyalah tafsir terma “penumpang” yang beliau gunakan di PRK Semenyih.

"Perkataan, 'penumpang' yang saya maksudkan adalah menteri-menteri PH yang tidak berpretasi di kabinet Tun Mahathir.

“Tetapi, ia sengaja disalah tafsirkan oleh PH yang mendakwa bahawa saya menggunakan perkataan 'penumpang' terhadap menteri-menteri bukan Melayu," katanya di majlis tersebut yang dihadiri lebih 500 penduduk Rantau dan penyokong BN.

Turut hadir anggota parlimen Arau Shahidan Kassim dan Pengerusi Umno Kedah Jamil Khir Baharom.

Untuk rekod, Mohamad Hasan yang lebih mesra dipanggil sebagai Mat Hasan dilaporkan sebagai berkata bahawa orang Melayu dipinggirkan di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

Ketika berkempen di PRK Semenyih pada Mac, Mat Hasan memberitahu hadirin suatu majlis ceramah bahawa orang yang patut menjadi tuan tanah telah menjadi penumpang dengan rumah kecil, manakala orang dahulunya penumpang di tanah air kini tinggal di rumah besar.

Bagaimanapun, Mat Hasan menafikan bahawa beliau merujuk kepada orang bukan Melayu.

"Saya kesian tengok Tun Mahathir sebagai perdana menteri (Dr Mahathir Mohamad). Usianya sudah 94 tahun masih terpaksa bekerja keras kerana kabinetnya tidak menunjukkan pretasi.

"Beliau sahaja mengemudi kerajaan PH hari ini. Manakala, menteri-menteri yang lain cuma menumpang sahaja," jelasnya.

Sementara itu, Mat Hasan turut mendakwa calon PH Dr S Streram sengaja tidak mengambil pas SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) pada PRU14 untuk memberikan satu persepsi buruk terhadap sistem pilihan raya Malaysia di bawah Kerajaan BN.

Katanya, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan ketika menjadi pembangkang merekakan pelbagai cerita dan dakwaan terhadap sistem pilihanraya dan SPR untuk memburukkan imej kerajaan BN dipersada dunia.

"Memakai pas SPR adalah peraturan pilihan raya. Itu sebabnya semua orang kena pakai pas. Saya sendiri pakai pas. Siapa tak kenal Tun Mahathir, dia pun sendiri pakai pas untuk masuk dalam dewan penamaan calon.

"Tetapi, beliau (Streram) walaupun telahpun diberi taklimat. Saya pun ada semua ada bahawa semua calon bersama dia punya penyokong dan pencadang nak masuk ke bilik pencalonan mesti ada pas keselamatan.

"Dia orang tak pernah datang. Tak pernah mohon pun untuk pas tersebut daripada pejabat SPR mahupun pejabat daerah. Saya jangkankan semua ini dibuat dulu kerana dilakukan dengan sengaja untuk memberitahu dunia betapa tidak baiknya sistem pilihan raya di Malaysia," katanya lagi.