Skip to main
Logo Malaysiakini

Penduduk kampung bangkit isu Tabung Haji

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

PRK RANTAU | Tabung Haji merupakan salah satu isu yang menjadi perhatian hadirin dalam program Pakatan Harapan (PH) di Kuala Sawah malam tadi.

Dalam satu sesi soal jawab, seorang hadirin bernama Shahrir Azam, 78, bertanya mengapa tiada sebarang tindakan pihak yang menyebabkan Tabung Haji berdepan masalah, antaranya sehingga defisit RM4.1 bilion setakat 31 Disember 2017.

Dia juga meminta penjelasan berkenaan dakwaan lembaga itu kini "dikuasai orang bukan Melayu".

Shahrir Azam

Menjawab soalan itu, Ketua Cabang PKR Kuantan Fakhrul Anuar Zulkawi yang mengetuai sesi soal jawab itu berkata isu Tabung Haji kini dalam siasatan.

"Pengarah lama Tabung Haji telah diganti dengan pengarah baru.

"Saya juga ingin tegaskan bahawa dakwaan tabung Haji dikuasai oleh orang bukan Melayu adalah fitnah," katanya lagi.

Dakwaan itu berkenaan Ketua Pegawai Eksekutif Prokhas iaitu Chen Yin Heng.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof sebelum ini berkata urusan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) pada masa ini dilaksanakan oleh Prokhas yang merupakan salah satu syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan).

Bagaimanapun Mujahid menyangkal dakwaan itu kerana UJSB tetap mempunyai kuasa eksekutif dan "keputusan semua akan kembali pada ahli lembaga pengarah UJSB".

Pada mulanya program itu merupakan ceramah kelompok tetapi berdepan masalah ekoran penganjur mendapatkan permit di lokasi yang berbeza.

Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tiba di tempat program meminta penganjur menghentikan ceramah. Program bagaimanapun diteruskan menjadi sesi soal jawab dengan syarat tidak menggunakan pembesar suara.

BacaBenarkah CEO bagi SPV Tabung Haji bukan Islam, Cina?