Skip to main
Logo Malaysiakini

Najib tak patut cuba tangguhkan bicara

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Dr Mahathir Mohamad hari ini mengkritik pasukan peguam bela Najib Razak yang didakwanya cuba menangguhkan perbincaraan bekas perdana menteri itu.

Kata perdana menteri kes yang mempunyai kepentingan umum itu sepatutnya disegerakan dan tidak perlu ditangguh.

"Sama ada lewat atau tidak, bagi masa selama enam bulan untuk dengar kes.

"Sepatutnya kes yang mempunyai kepentingan umum yang kuat, perlu dibicarakan secepat mungkin," katanya pada sidang media selepas perasmian penutup Forum CEO anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana di Kuala Lumpur petang tadi.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memulakan perbicaraan kes pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan Najib dan dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Pada masa sama pasukan pembelaan cuba memohon penangguhan.

Dalam prosiding semalam, saksi pertama dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dipanggil untuk memberi keterangan berkaitan rekod tiga syarikat, termasuk SRC yang juga bekas anak syarikat 1MDB.

Perbicaraan itu membabitkan penyelewengan dana SRC sebanyak RM42 juta.

Pada perbucaraan itu, Peguam Negara Tommy Thomas dalam pernyataan pembukaan, berkata pendakwaan akan membuktikan Najib - pada 10 Februari 2015 - memasukkan RM10 juta wang daripada hasil aktiviti haram daripada akaun peribadinya ke akaun peribadi yang lain.

Thomas berkata, pendakwaan akan membuktikan bahawa Najib mengeluarkan sejumlah 15 cek peribadi daripada akaun beliau berjumlah RM10,776,514.

Katanya, akan dibuktikan juga bahawa pada Disember 2014, kad kredit Najib dicaj sebanyak AS$130,625 bagi perbelanjaan di butik Chanel di Honolulu Amerika Syarikat.

Sementera itu mengulas mengenai Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), Mahathir berkata ia adalah badan bebas.

"Apa sahaja aduan, ia adalah suruhanjaya bebas, apa yang mereka mahu lakukan terpulang pada mereka," katanya.