Skip to main
Logo Malaysiakini

Tuan Ibrahim akui 'cubit Umno, PAS turut rasa sakit'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PRK RANTAU l Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan bahawa partinya dan Umno

telah mencapai persetujuan untuk saling membantu dalam mana-mana pilihan raya kecil (PRK) sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Katanya, ia adalah antara perkara yang dipersetuju oleh jawatankuasa tertinggi PAS-Umno yang ditubuhkan bagi merangka hala tuju kerjasama politik tersebut.

“Kita putuskan semasa menunggu PRU-15 dan jika ada PRK, kalau PAS masuk (bertanding) Umno akan tolong, kalau Umno masuk, PAS tolong.

“Kita juga bersetuju untuk bersatu dalam apa juga isu melibatkan kepentingan Islam dan Melayu sama ada di Parlimen atau negeri. Ini kita boleh tengok apabila ahli parlimen Tanjong Karang, Noh Omar digantung di Parlimen baru-baru ini dan Umno keluar dewan sebagai protes, PAS ikut sama keluar.

“Semalam, ahli parlimen Pengkalan Chepa digantung dua hari, PAS keluar dewan, Umno pun keluar. Ini soldariti yang kita tunjukkan. Cubit kaki kiri, kaki kanan terasa,” katanya yang dipetik oleh Utusan Malaysia, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata demikian semasa ceramah sempena PRK DUN Rantau di Kampung Linsum di Rantau, malam semalam.

Gambar hiasan

Hadi sama ialah Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa dan Ketua Penerangan Umno, Shamsul Annuar Nasarah.

Akhbar itu juga memetik Tuan Ibrahim sebagai berkata, PAS awal-awal lagi telah memberi komitmen untuk membantu Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan yang menjadi calon Barisan Nasional (BN) dalam PRK Rantau.

“Semasa ada ura-ura PRK dulu, Mat Hasan (Mohamad) menghubungi saya. Ketika itu saya berjanji bahawa PAS akan memastikan semua jentera turun membantu beliau.

“Kita bukan semata-mata mahu memenangkan Mat Hasan sebagai individu tetapi yang penting kerana beliau mewakili parti Melayu terbesar,” katanya.

Umno pertikai gambar Dr Siti Hasmah

Utusan Malaysia juga memetik Annuar Musa sebagai berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah melanggar banyak peraturan sepanjang berkempen di Rantau.

Katanya, seperti dalam dua PRK lalu, PH bagaimanapun terlepas daripada tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kalau Barisan Nasional (BN) letak gambar selain Mat Hasan disoal. Tetapi mereka, gambar Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang tak ada kaitan dan jawatan politik pun dipaparkan.

“Cuba tengok di Rantau, jamuan diadakan secara terbuka, gunakan kemudahan TV3 buat siaran langsung dan habiskan beratus ribu ringgit untuk satu program.

“Mereka langsung tidak hormati undang-undang,” katanya di acara yang sama.