Skip to main
Logo Malaysiakini

Ismail Sabri seru pendeposit Tabung Haji 'jihad ekonomi'

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) diminta supaya tidak membuat pengeluarkan panik ekoran pengumuman kadar hibah yang rendah Jumaat lalu.

Ketua Pembangkang, Ismail Sabri Yaakob, berkata mempertahankan TH sebagai satu institusi yang menjaga umat Islam adalah "jihad ekonomi".

"Kepada penyimpan-penyimpan kerajaan beri jaminan, saya harap penyimpan jangan panik wang mereka selamat.

"Jangan keluarkan wang dari TH, jika ada wang lebih boleh tambah simpanan dalam TH.

"Dari segi simpanan ia tetap dijamin kerajaan, bantu TH untuk terus kekal utuh sebagai institusi Islam yang berjaya," katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Kerajaan Jumaat lalu mengumumkan TH memberi hibah sebanyak 1.25 peratus membabitkan agihan sebanyak RM913 juta untuk 2018.

Perkara itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof pada majlis taklimat prestasi TH di Putrajaya.

Tahun lalu, TH mengumumkan hibah 4.5 peratus kepada pendeposit, dan tambahan hibah haji 1.75 peratus untuk penyimpan yang belum menunaikan haji bagi 2017.

Menjelaskan hal itu Mujahid berkata pelan penstrukturan yang dilaksanakan kerajaan membuktikan kesungguhan mereka menyelamatkan TH demi menjaga kepentingan 9.3 juta pendeposit agensi tersebut.

Sementara itu, Ismail berkata pembangkang bersetuju dengan cadangan agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyiasat isu kegagalan tadbir urus dalam salah guna kuasa seperti didakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Selain itu beliau turut mengemukakan cadangan supaya Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) turut menyiasat TH bagi mencari.

Ia memandangkan laporan Ketua Audit Negara telah memperakui akaun TH diurus dengan baik dan bersih, namun didakwa sebaliknya selepas pentadbiran kerajaan bertukar.

"Saya sokong kalau diwujudkan RCI yang merupakan satu perkara termaktub manifesto PH, bukan saja TH, tetapi juga Felda dan Mara.

"Bagi mendapat satu gambaran yang lebih adil dan tepat, saya meminta supaya PAC mengambil langkah proaktif menyiasat kedudukan TH yang sebenar.

"Selaku pembangkang kita tidak akan bertolak ansur dan melindungi sesiapa saja yang bertanggungjawab melakukan penyelewengan dan salah urus tadbir TH," katanya.

Semalam Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan supaya RCI ditubuhkan bagi menyiasat kelemahan TH seperti didakwa kerajaan PH.