Skip to main
Logo Malaysiakini

Idris: Rumusan 4 ahli akademik isu Statut Rom wajar dihargai

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Empat ahli akademik yang membentangkan rumusan eksekutif kepada majlis raja-raja berhubung Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sepatutnya diberikan penghargaan, kata Idris Jusoh.

Bekas menteri pengajian tinggi itu berkata, empat ahli akademik itu sepatutnya diberikan kebebasan untuk menyuarakan pandangan akademik seperti dijanjikan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Mereka menyuarakan pandangan akademik, sepatutnya itu diberi penghargaan.

"Ini bila sokong kerajaan, ahli akademik bagus. (Tetapi) bila beri pendapat kritikal sikit (jadi) tak bagus, akan mengambil tindakan," katanya ketika ditemui di lobi parlimen, hari ini.

Kelmarin, sekumpulan aktivis pelajar mendedahkan rumusan eksekutif kertas kerja oleh empat ahli akademik yang mereka dakwa digunakan untuk meyakinkan majlis raja-raja agar menolak ICC.

"Hujah-hujah di dalam kertas tersebut sungguh berat sebelah apabila hujah tersebut hanya membincangkan soal mengapa majlis raja-raja perlu menolak Statut Rom.

"Kami membuat pendedahan ini untuk menimbulkan satu wacana antara semua peringkat termasuk ahli akademik," kata mereka dalam satu kenyataan.

Berdasarkan kertas kerja yang didedahkan, pembentangan itu dibuat oleh Profesor Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rahmat Mohamad, profesor undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Shamrahayu Abdul Aziz dan pensyarah undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Fareed Mohd Hassan dan Hisham Hanapi.

Ketika ditanya mengenai rumusan eksekutif yang dibentang empat ahli akedemik itu, Idris mengakui tidak mengetahui tentang kandungannya.

"Tapi mereka patut diberi ruang untuk menyuarakan pendapat mereka.Inilah yang sentiasa dikatakan menteri pendidikan sekarang.

"Beri ruang, kita perlu bebas, autonomi diberikan kepada universiti. Kata autonomi diberi kepada universiti, tetapi Najib Razak nak pergi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tak beri," katanya.