Skip to main
Logo Malaysiakini

Osman menghadap 'DYMM' Mahathir Mohamad, seloroh PM

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Suasana sidang akhbar Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad di lobi parlimen, hari ini gamat seketika apabila pemimpin Pakatan Harapan itu menyebut surat peletakkan jawatan Menteri Besar Johor, Osman Sapian telah dihantar kepada 'Duli Yang Maha Mulia Mahathir Mohamad'.

“Menteri Besar Johor telah letak jawatan semalam dengan surat kepada saya dan saya akan hantar surat kepada Sultan Johor memandangkan baginda berada di luar negara ketika ini.

“Osman menghadap Duli Yang Maha Mulia Mahathir Mohamad bersama satu surat letak jawatan kepada saya, satu lagi kepada Sultan Johor tetapi saya berhak untuk membacanya,” katanya secara berseloroh.

Kenyataan itu disambut ketawa wartawan yang membuat liputan dan dirinya sendiri.

Perdana menteri berusia 93 tahun itu walau bagaimanapun tidak membuat sebarang pembetulan mengenai kenyataannya itu dan menyambung sidang akhbarnya dengan menerangkan proses peletakkan jawatan Osman.

Seorang wartawan sebelum itu menyoal Mahathir untuk mengesahkan surat peletakkan jawatan Osman dihantar kepada dirinya atau Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Beliau sebelum itu mengumumkan bahawa Osman Sapian telah meletakkan jawatannya semalam.