Skip to main
Logo Malaysiakini

Saksi: Kecederaan rusuk Adib mungkin tak disedari

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

INKUES | Patah tujuh tulang rusuk kiri Muhammad Adib Mohd Kassim berkemungkinan besar tidak disedari sepanjang anggota bomba itu menerima rawatan selepas parah dalam insiden rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, 27 Nov tahun lalu.

Bekas pakar perunding kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz (dahulunya Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia) Prof Dr Shahrom Abd Wahid berkata, ia berikutan tiada laporan berkenaan kecederaan tersebut dan hanya disedari selepas bedah siasat dilakukan pada 18 Dis lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Justeru, Dr Shahrom yang merupakan saksi ke-29 inkues berpendapat tiada sesiapa yang memeriksa bahagian belakang badan mangsa.

"Saya rasa, tiada sesiapa pun yang melihat belakang (badan) itu dan kemudian, apabila buat rawatan seterusnya, saya juga rasa tiada sesiapa pun yang tengok di situ.

"Saya juga merasakan mereka tidak tengok walaupun terbalikkan mangsa dan kalau ada pun, mungkin tidak laporkan sebab tak tahu sama ada relevan atau tidak kecederaan itu," katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Hamdan Hamzah.

Shahrom Abd Wahid

Beliau berkata demikian pada prosiding hari ke-24 inkues kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner, di Shah Alam hari ini.

Ketua Jabatan Perubatan Forensik HKL, Dr Mohd Shah Mahmood, 59, sebelum ini berkata kecederaan tulang rusuk kiri belakang satu hingga tujuh yang patah secara menegak dan lurus dikesan pertama kali semasa proses bedah siasat pada 18 Dis lepas.

"Apabila bedah siasat dijalankan, kami menemui buat kali pertama kecederaan yang tidak dimaklumkan kepada kami iaitu (Adib) patah tulang rusuk kiri satu hingga tujuh dan cederanya unik," katanya.

Muhammad Adib, 24, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan( EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, yang cedera parah dalam rusuhan itu, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Dis lalu.

Sementara itu, Dr Shahrom dalam keterangannya pada sesi pagi, berkata beliau tidak terbabit secara langsung dalam kes itu tetapi dijemput oleh peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk membantu melihat dari sudut pandangannya sebagai saksi pakar.

Justeru, katanya, setiap keterangan dan hasil dapatan yang dibentangkannya di mahkamah adalah berasaskan kepada sumber meterial, dokumen dan rekonstruksi yang diselia olehnya dengan bantuan anggota JBPM.

"Saya tidak pergi ke lokasi kejadian untuk membuat lakonan semula atau rekonstruksi tetapi ia dibuat di BBP Subang Jaya dan Rawang.

"Eksperimen membaling topi keledar untuk memecahkan cermin belakang dan sisi van EMRS dirakam (lakon semula) di BBP Rawang pada 6 April lalu," katanya.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung esok.

-Bernama