Skip to main
Logo Malaysiakini

MP PH kecewa pembangkang tak sokong pindaan Perkara 1(2)

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PARLIMEN | Anggota Parlimen Pakatan Harapan (PH) menyuarakan kekecewaan berikutan kegagalan usaha pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan ekoran tidak mendapat sokongan pembangkang.

Ia untuk mengembalikan Perkara 1(2) seperti pada 1963, yang dikatakan untuk mengiktiraf status Sabah dan Sarawak berkedudukan sama dengan negeri-negeri Malaya secara keseluruhan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata anggota parlimen pembangkang khususnya dari Sabah dan Sarawak telah mensia-siakan "peluang keemasan" itu.

"Keputusan mereka tidak adil dan merugikan rakyat Sabah dan sarawak. Generasi akan datang boleh melihat pembangkang menolak rang undang-undang (RUU) ini.

"Mereka adalah kumpulan yang telah menggagalkan RUU ini ini dan sejarah akan menghukum mereka," katanya yang juga anggota parlimen Batu Sapi ketika ditemui di lobi Parlimen malam tadi.

VK Liew

RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019 diluluskan di peringkat dasar, tetapi gagal selepas bacaan kedua kerana tidak mendapat majoriti dua pertiga dewan.

Kerajaan memerlukan undian 148 anggota parlimen. Dalam undian malam tadi, sejumlah 138 anggota parlimen yang menyokong, tiada yang membantah dan 59 yang berkecuali.

Anggota Parlimen Semporna Mohd Shafie Apdal berkata jika hal seperti ini pun gagal mendapat sokongan, isu lain berkaitan Sabah dan Sarawak pasti lebih sukar dijayakan.

Shafie Apdal

Beliau berkata usaha ke arah itu pastinya lebih sukar pada masa akan datang tetapi ia tetap perlu diteruskan.

"Akan ada liku-liku dari segi Perlembagaan Persekutuan, tapi kita akan berusaha dan tak akan putus asa," katanya yang juga ketua menteri Sabah.

Sementara itu Anggota Parlimen Stampin Chong Chieng Jen menyifatkan wakil rakyat daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai mengutamakan kepentingan politik berbanding negeri itu.

“Saya tak sangka mereka tolak (RUU). Malam ini status Sarawak boleh kembali seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963, tapi kerana GPS Sarawak kekal sebagai satu daripada 13 negeri,” katanya yang juga timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna.

RUU tersebut dibahaskan oleh 46 anggota parlimen selama tujuh jam.

Ketika perbahasan, Anggota Parlimen Santubong dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengusulkan agar RUU itu dirujuk ke jawatankuasa terpilih parlimen dahulu.

Sejumlah 136 anggota parlimen menolak usul itu dan hanya 60 yang menyokong.

Ketika ucapan penggulungan bagi perbahasan peringkat dasar, Mahathir berkata tiada keperluan untuk berbuat demikian.