Skip to main
Logo Malaysiakini

Statut Rome: TMJ berhenti kelirukan rakyat - Aktivis siswa

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

ULASAN | Tunku Mahkota Johor (TMJ Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini mengeluarkan kenyataan di Twitter bertitah jika perjanjian antarabangsa itu bagus mengapa rakyat Palestin masih dizalimi.

Tunku, saya mohon untuk tunku berhenti mengelirukan rakyat Malaysia. Apa yang Tunku tahu mengenai campur tangan Mahkamah Jenayah Antarabangsa dalam isu Palestin?

Biar saya beritahu Tunku apa yang sedang dilakukan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa dalam isu Palestin.

Pada 1 Januari 2015 Palestin mengeluarkan suatu perisytiharan di bawah Perkara 12 (3) Statut Rom untuk membuka laluan kepada Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa membuka siasatan.

Pada 16 Januari 2015, Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa telahpun membuka siasatan awal ke atas Palestin.

Setelah siasatan awal, pada 13 Julai 2018, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (PTC 1) telah bersidang dan telah mengeluarkan keputusan memerintahkan pendaftarnya "untuk mewujudkan, secepat mungkin, sistem maklumat awam dan outreach activity ke Palestin untuk manfaat mangsa dan komuniti terjejas di Palestin.

Hak kepada mangsa beri keterangan

Perkara ini terpaksa dilakukan untuk menggalakkan mangsa dalam keganasan Palestin berpartisipasi dalam prosiding mahkamah tersebut.

Statut Rom memberikan hak kepada mangsa untuk tampil memberi keterangan semasa kes berlangsung di Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Untuk menggalakkan mangsa mangsa tersebut tampil memberi kenyataan, outreach activity ini ke Palestin adalah satu langkah yang patut dilakukan.

Jika Tunku sendiri terkeliru dan tertanya kenapa ambil masa yang sangat lama untuk Mahkamah Jenayah Antarabangsa bertindak, ingin saya jelaskan bahawa sememangnya mereka mempunyai kekangan terutamanya kerana ia melibatkan kedaulatan dua buah negara di mana mereka perlu berhati-hati mengorak langkah supaya tidak mencabar atau campur tangan dalam kedaulatan negara negara tersebut.

Tunku, di saat etnik Rohingya terseksa di Malaysia akibat tidak diberikan hak bekerja dan hak untuk pendidikan, pada 19 September 2018, Mahkamah Jenayah Antarabangsa telah memulakan siasatan awal ke atas Myanmar atas laporan yang telah dibuat oleh kerajaan Bangladesh.

Tunku, jika perjanjian antarabangsa seperti ini tidak berguna, mengapa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mahu menarik balik visa yang diberikan kepada Ketua Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa, Fatou Bensouda pada 5 April 2019 kerana mahkamah tersebut telah memulakan siasatan ke atas keganasan yang dilakukan oleh Amerika di Afghanistan dan juga kerana siasatan telah dibuka ke atas Israel?

Tunku, ingin saya ingatkan bahawa rakyat bawahan tidak mempunyai kapal terbang emas seperti Tunku. Rakyat tidak mempunyai kuasa dan kekayaan seperti Tunku.

Statut Rom ini akan beri perlindungan kepada rakyat supaya tidak dizalimi oleh mereka yang memegang takhta dan kuasa.

Jadi Tunku, berhentilah mengelirukan rakyat jelata. Jangan mempergunakan isu ini untuk kepentingan peribadi Tunku.


ASHEEQ ALI SETHi ALIVI ialah mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia dan Presiden Gabungan Pembebasan Akademik IPT (GPA-IPT).

Ulasan ini asalnya hantaran di media sosial penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.