Skip to main
Logo Malaysiakini

Niat k'jaan memang nak hukum Najib, kata pembangkang

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pembangkang menyifatkan kerajaan memiliki niat untuk menghukum Najib Razak apabila merujuk bekas perdana menteri itu kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Ketua Pembangkang, Ismail Sabri Yaakob, berkata ini kerana apa juga keputusan yang akan dikenakan terhadap Anggota Parlimen Pekan itu sepatutnya ditetapkan Dewan Rakyat bukannya jawatankuasa berkenaan.

"(Hukuman) bukan jawatankuasa tentukan, Dewan Rakyat yang tentukan berdasarkan syor daripada jawatankuasa. Niat kerajaan untuk menghukum (anggorta Parlimen) Pekan sudah ada dari mula.

"Petang semalam mereka usul untuk gantung tiga bulan, bagaimana pun pagi ini mereka ubah untuk dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen," katanya pada sidang media di lobi Parlimen.

Parlimen hari ini memutuskan untuk merujuk Najib ke Jawatankuasa berkenaan selepas memuat naik Kertas Putih Felda di laman sosial Facebooknya pada 9 April lalu.

 

Perkara diputuskan oleh Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof selepas undian belah bahagian dengan 86 anggota parlimen menyokong sementara 33 lagi menolak.

Usul itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, yang antara lain menyebut Kertas Putih adalah Kertas Perintah 6 Tahun 2019 yang masih dalam Embargo sehingga jam11.30 pagi pada Rabu (10 April ).

Laman web parlimen siar 9 April

Bagaimanapun Ismail menafikan kenyataan Liew dengan mengatakan kertas Putih telah dimuat naik di laman web parlimen pada 9 April.

"Bukti jelas dokumen yang sepatutnya embargo jadi dokumen umum apabila laman web Parlimen mengeluarkannya pada 9 April. Automatik dokumen itu tidak lagi embargo," katanya.

Sehubungan itu Ismail berkata, pembangkang termasuk PAS menolak usul untuk merujuk Najib ke jawatankuasa berkenaan.

Sementara itu Anggota Parlimen Pontian, Ahmad Maslan, berkata dakwaan menteri bahawa dokumen itu disiarkan pada 10 April di laman web parlimen adalah pembohongan dan cuba mengelirukan dewan.

"Kalau ingin tahu tajuk, kamu hanya perlu buka laptop tekan sebelah kanan (kekunci) pergi pada 'inspact', ia akan menunjukkan bukti forensik dokumen dimuat naik 9 April.

"Apa yang disebut menteri 9 April tajuk adalah pembohongan mengelirukan dewan, semua risalah yang keluar hari ini, dimuat naik keluar April, sehari sebelum perkara itu dibincang," katanya.

Terdahulu, sebilangan besar anggota parlimen BN diketuai Ismail bertindak meninggalkan dewan selepas usul merujuk Najib ke jawatankuasa hak dan kebebasan Parlimen diluluskan.