Skip to main
Logo Malaysiakini

Hasanah saman SPRM kerana beku akaun bank

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid memfailkan saman terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mencabar tindakan suruhanjaya itu membekukan akaun banknya sejak September tahun lalu.

Saman pemula itu difailkan Hasanah selaku pemohon pada 28 Mac lepas menerusi Tetuan Azam Aziz Shaharudinali & Co dengan menamakan SPRM dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua.

Dalam saman itu, Hasanah, 61, memohon perintah deklarasi bahawa perintah larangan ke atas akaun bank berkenaan bertarikh 3 Sept 2018 yang dikeluarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM adalah terbatal dan tidak sah.

Beliau turut memohon perintah deklarasi bahawa perintah larangan terhadap akaun berkenaan yang dibuat mengikut Seksyen 37(1) Akta SPRM adalah bertentangan atau bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menerusi afidavit sokongan difailkan bersama saman itu, Hasanah mendakwa pihak SPRM tidak pernah memaklumkan kepadanya berkaitan perintah larangan ke atas akaun banknya sepanjang beliau direman pada 29 Ogos 2018 dan dibebaskan daripada tahanan reman pada 3 Sept 2018.

Bagaimanapun, katanya, beliau mendapati urusan perbankannya gagal ketika berurusan pada keesokannya (4 Sept 2018).

Menurut Hasanah, beliau kemudiannya menghubungi pegawai penyiasat SPRM bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai akaun bank itu dan pegawai berkenaan menyatakan bahawa akaun bank hanya dibekukan sementara mengikut prosedur siasatan biasa oleh pihak SPRM.

Katanya, sebanyak lima pucuk surat telah dihantar kepada pihak SPRM antara 9 Okt dan 18 Dis 2018 bagi memohon pelepasan pembekuan akaun bank itu.

Bagaimanapun, pada 6 Dis tahun sama, Bahagian Siasatan SPRM menjawab permohonan untuk pelepasan akaun berkenaan dengan mengatakan ia tidak dapat dipertimbangkan, katanya dalam afidavit tersebut.

Hasanah mendakwa beliau mengalami kesukaran untuk menyara kehidupannya yang bergantung sepenuhnya kepada duit pencen yang dimasukkan ke dalam akaun bank berkenaan selain tidak mempunyai sumber pendapatan lain melainkan wang gaji dan wang pencen tersebut.

Sementara itu, peguam Nur Aifaa Mohd Zin, yang mewakili Hasanah, ketika ditemui pemberita, berkata kes saman berkenaan ditetapkan hari ini untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Idamasliza Maarof, yang kemudiannya menetapkan 17 Mei ini untuk pengurusan kes selanjutnya.

Prosiding dalam kamar itu turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad dan Muhamad Asyraf Md Kamal bertindak bagi pihak SPRM.

Pada 25 Okt 2018, Hasanah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan.

- Bernama