Menteri: ECRL masuk N Sembilan bukan sebab PRK
PRK RANTAU | Menteri Pengangkutan Anthony Loke menafikan dakwaan PRK Rantau mempengaruhi perubahan jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang memasuki Negeri Sembilan.
Beliau berkata Malaysia telah mengadakan rundingan semula ECRL sejak tahun lalu, lama sebelum PRK Rantau diumumkan.
"BN hentam kita (kata) nak pancing undi...Tahun lepas kita tak tahu akan ada PRK di Rantau.
"Kita umum hari ini kerana (ketua perunding) Daim Zainuddin ada di China. Perjanjian dimuktamadkan maka pengumuman dibuat hari ini.
"Bukan kerana esok PRK. Ini pengumuman besar yang beri manfaat kepada seluruh negara," katanya ketika berucap di program finale Pakatan Harapan (PH) di Bandar Sri Sendayan malam ini.
Hari ini Daim mengumumkan ECRL akan diteruskan dengan pengurangan kos sebanyak RM21.5 bilion, iaitu daripada RM66.5 bilion kepada RM44 bilion.
Jajaran asal dari Kelantan ke Terengganu dan Pahang akan dikekalkan.
Tetapi berbanding melalui Bentong ke Gombak seperti perancangan asal, ia akan menghala ke selatan dari Mentakab menjuju ke Jelebu sebelum ke Kuala Klawang, Bangi/Putrajaya dan stesen akhir Pelabuhan Klang.
Loke berkata dengan pembatalan laluan Bentong, kerajaan dapat menjimatkan kos tinggi untuk membina terowong melalui Banjaran Titiwangsa.
Katanya lagi, laluan baru itu akan memberi manfaat kepada kawasan perindustrian dan membantu agenda kerajaan membangunkan kawasan luar bandar.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai