Tukar MB: Dr M alih isu tak puas hati pada PH - Khaled
PH dilihat sengaja menggunakan isu peletakan jawatan Menteri Besar Johor Osman Sapian bagi mengalihkan isu ketidakpuasan hati rakyat terhadap kerajaan.
Naib Presiden Umno Khaled Nordin mendakwa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sudah berjaya menggunakan peluang itu, lapor Utusan Malaysia.
“Mungkin apabila isu itu timbul saya percaya rakyat yang tidak puas hati dengan kelemahan pemerintahan PH akan beralih fokus kepada isu ini.
“Dr. Mahathir sudah berjaya menggunakan peluang itu untuk mengalih perhatian rakyat.
“Kita pun tidak tahu sama ada Dr. Mahathir tercakap atau terumum peletakan jawatan Osman atau ia adalah satu strategi beliau untuk meminda Perlembagaan atau sistem yang kita amalkan selama ini,” Khaled dilaporkan sebagai berkata.
Dr M dahagakan peluang
Khaled berkata demikian ketika ditanya akhbar itu mengapa Dr Mahathir mengumumkan peletakan jawatan Osman ketika Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tidak berada didalam negara.
Pagi tadi Osman menyembah maklum peletakan jawatannya kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Selasa lalu, Dr Mahathir mengumumkan peletakan jawatan Osman sebagai menteri besar, 11 bulan selepas dilantik ke jawatan itu.
Osman yang juga pengerusi Bersatu dan PH Johor, Isnin lalu dilaporkan menyerahkan dua surat peletakan jawatan kepada perdana menteri dalam satu pertemuan di Putrajaya.
Ketika pengumuman itu dibuat, Sultan Johor sedang melakukan lawatan ke Bahrain.
Justeru, Khaled meminta semua pihak untuk tidak memberikan peluang kepada Dr Mahathir berbuat demikian terutamanya jika terdapat usaha untuk meminda perlembagaan.
“Adakah isu ini digunakan Dr. Mahathir untuk mengalih tumpuan rakyat dan beliau cuba menggunakan peluang itu atas perkara samar dan tidak jelas supaya membolehkan perlembagaan dipinda atau mengubah sistem yang diamalkan selama ini.
“Sekali lagi saya tegaskan, jangan beri peluang kepada mana-mana pihak meminda perlembagaan kita.
"Bagi Dr. Mahathir beliau memang dahagakan peluang pindaan itu,” Khaled dilaporkan sebagai berkata.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai