Skip to main
Logo Malaysiakini

Saya kalah bermaruah, kata Streram

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

PRK RANTAU | Dr S Streram mengakui tidak menjangka kekalahannya dalam PRK Rantau hari ini tetapi tetap menganggapnya sebagai "kalah bermaruah".

"Saya sebenarnya tidak menjangkakan keputusan ini dan harapkan yang terbaik.

"(Tetapi) Bagi saya kekalahan hari ini bermaruah. Saya lebih memilih kalah selepas bertanding daripada memberi kemenangan (percuma) seperti PRU ke-14," katanya kepada pemberita di bilik gerakan utama PH di Bandar Ekar malam ini.

Katanya, beliau menerima pilihan yang dibuat pengundi di DUN itu dan mengucapkan tahniah kepada pemangku presiden Umno Mohamad Hasan atas kemenangannya.

Mohamad mendapat 10,379 undi, menewaskan Streram yang meraih 5,887 undi serta dua calon bebas, R Malar (83) dan Mohd Nor Yassin (79).

Ketika penamaan calon pada PRU ke-14, pegawai SPR menghalangn Streram masuk ke pusat penamaan calon untuk menghantar borang, memberikan kemenangan percuma kepada Mohamad.

Beliau kemudian memfailkan petisyen di Mahkamah Pilihan Raya, yang akhirnya memutuskan kemenangan Mohamad terbatal dan mengarahkan pilihan raya diadakan.

Ditanya mengenai langkah seterusnya selepas PRK, Streram dengan nada bergurau berkata beliau mahu "berehat dahulu".

"(Sebab) sudah lama bekerja...(Tetapi) saya tetap akan sedaya upaya menyelesaikan isu di sini. Kalah tidak semestinya melupakan DUN Rantau dan masyarakat di sini," katanya lagi.