Skip to main
Logo Malaysiakini

Ahli PKR dakwa SPR berat sebelah, tak lapor majlis makan MCA

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ketua Komunikasi Pemuda PKR Wong Chun Yuan mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersikap berat sebelah dalam melaporkan kesalahan pilihan raya kepada pihak polis.

“Polis kata mereka tak ada terima laporan lain seperti ini. SPR hanya buat laporan terhadap saya,” katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian ketika dihubungi selepas hadir ke ibu pejabat polis daerah Seremban pagi ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan melanggar peraturan pilihan raya dengan menjamu pengundi di Rantau.

Laporan polis terhadapnya itu dibuat oleh SPR.

Kata Wong, dia merupakan satu-satunya pihak yang disiasat bawah Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 berkaitan kesalahan menjamu makan semasa tempoh kempen pilihan raya.

Sekali lagi, dia menegaskan majlis makan malam itu adalah untuk mengumpulkan dana dan bukanlah bagi menjamu pengundi di Rantau.

Malah, Wong turut mempersoalkan mengapa tiada tindakan serupa diambil terhadap MCA sedangkan, menurutnya, parti itu juga ada menganjurkan beberapa majlis makan malam percuma semasa tempoh kempen PRK.

“Semua aktiviti itu (majlis makan malam) dilaporkan dalam surat khabar tempatan, tapi SPR tak ambil apa-apa tindakan,” katanya.

Sin Chew Daily melaporkan MCA Kuala Sawah dilaporkan menganjurkan ceramah dan majlis makan malam bufet secara percuma pada 3 April lalu sebagai sebahagian kempen calon BN Mohamad Hasan.

Pada 6 April, penyokong Mohamad juga menganjurkan satu majlis makan malam mega yang turut dihadiri Presiden MCA Wee Ka Siong dan Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun, menurut Sin Chew, Mohamad tidak turut serta dalam majlis tersebut.

Menurut Wong lagi, dia menerima notis amaran daripada pegawai SPR selepas majlis pengumpulan dana itu tamat, pada malam sebelum hari pengundian.

“Pegawai itu beritahu saya, mereka akan tetap buat laporan polis berhubung hal itu walaupun jika tiada aduan dibuat,” katanya.

Wong turut memaklumkan bahawa Naib Ketua Pemuda PKR Pulau Pinang Lee Boon Heng pula akan disoal siasat polis selepas ini.

Turut hadir semasa Wong memberi kenyataannya tadi ialah peguam Pemuda PKR Chiew Choon Man dan Adun Rawang Chua Wei Kiat.

[Baca berita asal]