Skip to main
Logo Malaysiakini

Sedic masih dalam proses audit, kata menteri

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy berkata, Unit Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (Sedic) yang sebelum ini didakwa berlaku banyak penyelewengan masih dalam proses pengauditan.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas laporan The Star yang melaporkan pemeriksaan Jabatan Audit Negara (JAN) mendapati peruntukan berjuta-juta ringgit yang disalurkan kepada Sedic disalah guna, termasuk untuk kepentingan peribadi.

"Itu masih dalam proses audit tapi penemuan awal memang terdapat banyak penyelewengan. Jadi kita tunggu sehingga laporan audit berakhir," katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama pemimpin bukan Islam di Buddhist Maha Vihara di Brickfields, Kuala Lumpur.

Waythamoorthy berkata susulan itu, kerajaan mengambil langkah tegas dengan memperketatkan sebarang permohonan dana daripada Sedic supaya perkara sama tidak berulang.

"Sebab itu dalam masa sekarang ni, sebarang permohonan yang sedang diproses, kita akan mengambil masa yang lama untuk betul-betul menyemaknya supaya mereka (NGO) tidak daftar dengan nama yang berlainan - daftar nama baru dan buat perkara yang sama," katanya.

Terdahulu The Star hari ini melaporkan peruntukan yang disalurkan kerajaan lalu kepada ratusan NGO melalui Sedic dikesan disalah guna.

Dana itu pada asalnya diperuntukkan bagi meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah dalam kalangan masyarakat India.

Ketua Pengarah Mitra, S Letchumanan berkata laporan awal JAN menunjukkan kebanyakan geran tidak digunakan untuk menjalankan program untuk komuniti India.

Sedic dinamakan semula sebagai Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra) selepas dibubarkan dan masih berada di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Oktober tahun lalu, Waythamoorthy berkata Jabatan Audit Negara sudah mula mengaudit Sedic sejak September dalam usaha mengenal pasti bantuan yang disalurkan melalui unit itu diterima golongan sasar.

Temui NGO bukan Islam

Dalam perkembangan lain Waythamoorthy berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin NGO bukan Islam dan menteri-menteri tertentu bagi membincangkan isu dihadapi mereka, yang turut melibatkan kementerian- tertentu.

"Saya akan uruskan pertemuan itu kerana terdapat ramai orang yang minta. Jadi kita akan dapatkan maklum balas mereka dan kita akan tetapkan permintaan itu," katanya kepada pemberita hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata pertemuan itu akan dilakukan selepas dua lagi sesi dialog bersama pemimpin NGO bukan Islam diadakan di Utara dan Selatan tanah air.

Katanya lagi, isu yang diutarakan oleh mereka juga akan dibawa ke mesyuarat kabinet selepas pertemuan terbabit bagi mengumpulkan maklum balas.