Skip to main
Logo Malaysiakini

RCI Wang Kelian dengar keterangan polis jumpa kem

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

RCI WANG KELIAN | Anggota polis Koperal Mat Ten memberi keterangan bagaimana dia menemukan kem pemerdagangan manusia berhampiran hutan di sempadan Malaysia - Thailand pada 18 Januari 2015.

Mat merupakan saksi pertama yang memberi keterangan pada sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang diadakan di Putrajaya.

Anggota Pasukan Gerak Am (PGA) itu memberitahu panel RCI bagaimana beliau dan rakan setugasnya melihat denai dan beberapa menara pengawal dibina di atas pokok ketika membuat rondaan di kawasan itu.

Dia kemudian menjejaki denai tersebut sehingga jauh ke dalam hutan dan menemukan kem, orang serta binaan kayu di situ. Selepas itu, Mat melaporkan penemuannya kepada pegawai atasan PGA.

Pada hari berikutnya, 19 Januari, Mat bersama sembilan orang anggota PGA bergerak ke kem itu bagi menjalankan misi pengawasan tetapi kehadiran mereka dapat dikesan.

Berpagar, terkunci

"Ada seorang perempuan menjerit polis sampai.

"Kerana itu kami tahu terdapat orang di rumah-rumah tersebut. Tetapi mereka musnahkan dan pecahkan segala-galanya (apabila cuba melarikan diri)," katanya.

Mat berkata pasukannya gagal menangkap mereka yang melarikan diri tetapi berjaya menangkap enam pendatang yang tidak dapat melarikan diri akibat kecederaan. 

Sementara itu, katanya lagi, enam orang berada di dalam struktur kayu yang berpagar dan terkunci.

Mat berkata beliau tidak bertanya mengenai kewarganegaraan keenam-enam orang itu yang dibawa ke balai polis Wang Kelian untuk proses selanjutnya.

RCI ini dipengerusikan bekas ketua hakim negara Ariffin Zakaria, manakala bekas ketua polis negara Norian Mai menjadi timbalan pengerusi suruhanjaya siasatan itu.

Anggota RCI lain ialah bekas ketua pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Noorbahri Baharuddin; Razali Ismail yang baru meletak jawatan sebagai pengerusi Suhakam; bekas ketua penyelidik, Jabatan Peguam Negara, Junaidah Abdul Rahman; bekas duta Malaysia ke Thailand, Nazirah Hussin; dan bekas timbalan pengerusi PAC Dr Tan Seng Giaw.

Pada 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 147 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand.

RCI itu akan dibantu oleh dua pegawai pengendali yang akan menjalankan siasatan (inkuiri) terhadap pegawai-pegawai penyiasat, saksi-saksi dan mana-mana individu yang difikirkan perlu.

Selepas sesi pendengaran selesai, Arifin berkata RCI itu akan mengesyorkan tindakan dan penambahbaikan yang diambil oleh kerajaan, seterusnya mengemukakan laporan siasatan kepada Yang di-Pertuan Agong.

[Baca berita penuh]