Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes pecah amanah bekas KP MEIO bermula Feb 2020

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 15 hari bermula 3 Februari tahun depan untuk perbicaraan kes bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid yang dituduh pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM50.4 juta.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan 3 Feb hingga 7 Feb, 10 Feb hingga 14 Feb dan 17 hingga 21 Feb 2020 untuk perbicaraan semasa pengurusan kes itu dan turut menetapkan 25 Mei untuk pengurusan kes lanjut.

Terdahulu, Hasanah, 61, yang diwakili oleh peguam Shaharudin Ali minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan semula terhadapnya.

Timbalan Pendakwa Raya Mahadhir Mohd Khairudin memaklumkan bahawa pihak pendakwaan akan memanggil antara 15 dan 20 saksi.

Hasanah didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan antara 30 April lalu dan 9 Mei tahun lepas di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

- Bernama