Skip to main
Logo Malaysiakini

Saksi: Arahan musnahkan kem dikeluarkan TKP Perlis

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

RCI WANG KELIAN l Operasi pemusnahan kem penempatan sementara Wang Kelian, Perlis oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) telah membawa kepada penemuan kubur di kawasan itu, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian diberitahu hari ini.

Komandan Kompeni Batalion B PGA Briged Utara DSP M Joeking berkata pasukannya seramai 30 orang terpaksa menghentikan operasi pemusnahan yang dilakukan pada 21 Jan 2015 selepas ternampak binaan seakan-akan kubur.

Saksi kelima RCI itu berkata pasukannya hanya sempat membakar kanvas khemah dan barangan makanan yang ditemukan di kawasan itu, manakala struktur penempatan dikekalkan.

“Selain membakar kanvas, anggota kami juga membuat pencarian di kawasan berkenaan dan operasi pemusnahan dihentikan serta merta setelah menemui kubur berkenaan.

“Ini bagi memastikan tindakan susulan dapat dilakukan,” katanya pada prosiding hari kedua pendengaran awam RCI berhubung penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis pada 2015.

Susulan penemuan itu, pihaknya telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar dan menyerahkan kes berkenaan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Semasa ditanya siapa yang mengeluarkan arahan pemusnahan itu, Joeking berkata ia dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Polis (TKP) Perlis dalam satu mesyuarat sehari sebelum operasi pemusnahan dijalankan.

"Saya tanya TKP apa nak buat dengan kawasan itu, dan beliau mengeluarkan arahan untuk memusnahkannya," katanya.

Menurutnya sebelum keputusan dibuat, terdapat perbincangan lain dilakukan TKP tanpa kehadirannya.

Joeking berkata beliau menerima arahan tersebut dan memaklumkan kepada Pegawai Pemerintah Medan DSP Silva Ngandam.

Katanya beliau dan DSP Silva bersama 30 anggota naik ke lokasi penempatan keesokan harinya untuk melakukan operasi pemusnahan.

Ditanya sama ada terdapat arahan khusus supaya penempatan itu dimusnahkan, Joeking berkata tiada tetapi sebagai anggota PGA, beliau berpandangan langkah berkenaan bagi mengelak kem tersebut digunakan semula oleh pendatang tanpa izin untuk kegiatan lain.

Sebelum ini, media melaporkan tindakan pemusnahan kem pemerdagangan manusia itu sehari selepas ia ditemui berkemungkinan bagi menghilangkan bukti yang boleh membantu siasatan pihak berkuasa.

- Bernama