Skip to main
Logo Malaysiakini

Saifuddin: Kejayaan PH selesaikan isu dengan China, S'pura

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pakatan Harapan (PH) yang mengambil alih kerajaan pada Mei tahun lalu berjaya menyelesaikan isu-isu pertikaian membabitkan beberapa negara seperti China dan Singapura.

Menurut Menteri Luar Saifuddin Abdullah, ini dapat dilihat dalam rundingan Putrajaya menyelesaikan isu seperti projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dan Bandar Malaysia dengan China.

Selain itu, kerajaan juga menyelesaikan isu berkaitan had pelabuhan Johor Bahru dan Lapangan Terbang Seletar apabila Singapura bersetuju menarik balik prosedur Sistem Pendaratan Instrumen (ILS).

“Dengan China isu ECRL dan Bandar Malaysia. Dan juga kita berjaya mendapatkan kerjasama China membeli lebih banyak kelapa sawit,

“Dengan Singapura kita berjaya selesaikan Johor Bharu Port limit, ILS Seletar dan mula bincang perkara sebelum ini, yang Singapura tak mahu bincang - isu maritim dan tentulah yang paling besar perjanjian air,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Kementerian Luar, Putrajaya semalam.

Malaysia menaruh harapan agar Singapura bersetuju mengadakan rundingan fasa kedua Perjanjian Air 1962 yang membabitkan modaliti harga.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berulang kali menyatakan bahawa Malaysia menjual air kepada Singapura pada harga yang terlalu rendah dan kadar itu perlu dikaji semula.

Perjanjian itu, yang berakhir pada 2061 memberi hak kepada Singapura untuk mengeluarkan 250 juta gelen sehari (mgd) air mentah dari Sungai Johor pada kadar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen.

Pada masa sama, Saifuddin berkata antara kejayaan lain yang dicapai oleh kerajaan baru dalam tempoh menjangkau setahun bulan depan adalah menggilap imej Malaysia daripada gelaran kleptokrat.

“Kejayaan-kejayaan kita dalam masa setahun ialah menggilap imej Malaysia bahawa kita bukan lagi negara yang dipanggil kleptokrat dan dunia mula lihat Malaysia sebagai negara yang juga perjuangkan demokrasi, soal kebebasan, hak asasi manusia dan peraturan perundangan.

“Ayat-ayat ataupun empat perkataan itu walaupun mungkin sebelum ini disebut tapi tak dengan nada dan naratif yang diungkapkan sekarang.

“Dan kita menyatakannya dengan bukti-bukti yang agak nyata dan orang fahaminya. Jadi itu adalah kejayaan yang paling besar,” katanya.

Ketika PRU-14 pada 9 Mei lalu, PH berjaya merampas Putrajaya daripada BN yang telah berkuasa lebih enam dekad, buat pertama kali.