Skip to main
Logo Malaysiakini

Pegawai penyelaras inkues tak tahu menahu laporan polis 2 saksi pakar

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pegawai penyelaras Inkues Hamdan Hamzah berkata beliau tidak tahu menahu mengenai laporan polis ugutan yang dibuat oleh dua pakar forensik yang menjadi saksi dalam inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Hamdan mengatakan beliau baru mengetahui mengenai laporan berita tersebut pagi ini.

"Saya tak tahu. Hanya tahu hari ni menerusi laporan berita.

"Saya tak boleh komen. Kalau nak (dapatkan komen) pergi HKL," katanya pada pemberita di Mahkamah Koroner Shah Alam hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai laporan polis yang dibuat oleh dua saksi pakar itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat berkata laporan itu diklasifikasi di bawah Seksyen 189 Kanun Keseksaan berkenaan ugutan bencana kepada penjawat awam.

Menurut Fadzil, laporan itu dibuat di Balai Polis Subang Jaya pada 20 April, kira-kira jam 9.28 malam oleh dua orang doktor pakar daripada Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur.

https://m.malaysiakini.com/news/473324

Untuk rekod, setakat ini dua pakar dari HKL yang telah memberi keterangan ialah Ketua Jabatan Perubatan Forensik Dr Mohd Shah Mahmood dan pakar perubatan forensik Dr Ahmad Hafizam Hasmi.

Mereka berdua dilaporkan berkata Adib keluar daripada van EMRS secara sendiri melalui pintu penumpang sebelah kiri, dilanggar oleh van yang mengundur yang menyebabkannya terjatuh ke tanah.

Pada 17 dan 19 April, saksi ke-29, bekas pakar perunding kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz (dahulunya Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia) Prof Dr Shahrom Abd Wahid mengkritik laporan bedah siasat yang dilakukan oleh Dr Hafizam, antaranya tentang skala warna lebam dan hipotesis Adib dilanggar pintu depan EMRS tidak diuji.