Skip to main
Logo Malaysiakini

Risda gagal bayar dividen bulanan pada Orang Asli

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

DEWAN NEGARA | Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) akan meneliti kembali Perjanjian Persefahaman (MOU) bersama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) berikutan wujud kegagalan pembayaran dividen bulanan kepada golongan minoriti tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan) P Waytha Moorthy berkata perkara itu perlu dijalankan bagi melindungi hak Orang Asli daripada teraniaya, yang mana hak-hak golongan itu dilindungi di bawah Akta Orang Asli 1954 (Akta 134).

"Jakoa melantik Risda bagi membangun dan menguruskan ladang getah milik Orang Asli namun pada Januari lepas berlaku kegagalan pembayaran dividen bulanan yang melibatkan 22 ladang getah… maka kita perlu semak kembali MOU dengan Risda bagi menangani isu ini.

"Jakoa juga akan menyemak laporan perbelanjaan Risda supaya tidak ada ketirisan perbelanjaan berlaku sehingga menyebabkan isu ini timbul," katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Katanya, Jakoa juga sedang berusaha untuk mencari alternatif bagi menggantikan Risda dengan agensi lain yang boleh menjadi ejen pengurus ladang getah Orang Asli sekiranya wujud keperluan mendesak.

Waytha Moorthy menjawab soalan Senator Adrian Banie Lasimbang yang bertanya usaha-usaha yang sedang dilaksana kerajaan bagi menangani isu-isu Orang Asli khasnya dalam isu tanah, ekonomi dan pendidikan.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan sedang menjalankan kera-kerja mengukur tanah bagi memastikan hak-hak Orang Asli terhadap tanah milik mereka terus dilindungi, termasuklah mengenai isu pencerobohan tanah adat dan tanah yang diduduki mereka secara sah namun telah dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab.

"Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai kuasa mutlak ke atas tanah adat dan tanah diduduki Orang Asli kerana itu tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, namun kerajaan sedang dan akan terus berbincang dengan kerajaan negeri untuk memberi pengiktirafan tanah-tanah ini kepada Orang Asli," katanya.

- Bernama