Skip to main
Logo Malaysiakini

Tak semua syarikat boleh mohon projek Ladang Hutan Perak

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

DUN PERAK | Kerajaan negeri akan meletakkan syarat hanya syarikat yang memiliki modal berbayar minimum RM200,000 boleh memohon mendapatkan projek pembangunan ladang hutan di Perak, kata Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata Jabatan Perhutanan negeri dalam proses menambah baik prosedur operasi standard atau garis panduan bagi memastikan kelulusan projek pembangunan ladang hutan hanya diberikan kepada syarikat yang layak dan berkeupayaan dari segi kepakaran dan kewangan.

Katanya, kelulusan permit penggunaan bagi pembangunan ladang hutan merupakan suatu kelulusan dasar atau kelulusan secara prinsip yang tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan iaitu antaranya laporan kesesuaian kawasan yang dibuat oleh Pegawai Hutan Daerah, kelulusan Laporan Penilaian Impak Alam Sekeliling oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Untuk makluman dewan yang mulia ini juga, menurut syarat-syarat yang tidak pernah disemak sejak negara mencapai kemerdekaan, untuk memohon konsesi balak dan ladang hutan di negeri ini, syarikat itu hanya perlu memiliki tukul besi.

“Oleh itu, saya memohon maaf di atas kekeliruan yang timbul sebelum ini sehingga menimbulkan polemik berkaitan syarikat dua ringgit,” katanya ​​semasa menggulung perbahasan menjunjung kasih atas penzahiran titah diraja pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Ipoh, hari ini.

7,828 hektar telah diusahakan

Ahmad Faizal yang juga Adun Chenderiang berkata cadangan Projek Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) di dua lokasi iaitu di Hutan Simpan Kledang Saiong dan Hutan Simpan Bukit Kinta kepada sebuah syarikat telah dipertimbang dan diluluskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Sumber Hasil Hutan Negeri Perak pada November 2018 yang lepas.

Katanya, kerajaan negeri dalam mempertimbang dan memberikan kelulusan kepada kepada mana-mana syarikat, telah mengambil kira beberapa syarat kelayakan utama termasuk status dan keupayaan syarikat serta kedudukan kawasan pembangunan projek yang dipohon dalam Zon Pembangunan Ladang Hutan.

Dalam pada itu, pentadbiran sebelum ini dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah meluluskan Zon Pembangunan Ladang Hutan seluas 61,189 hektar dalam Hutan Simpan Kekal Negeri bagaimanapun kerajaan Pakatan Harapan telah memutuskan untuk mengurangkan kawasan yang diluluskan kepada 35,000 hektar sahaja.

“Daripada jumlah itu, hanya 7,828 hektar sahaja yang telah diusahakan manakala yang selebihnya masih dalam proses penyediaan dokumen seperti Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Rancangan Pengurusan Ladang Hutan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri memutuskan premis milik kerajaan tidak boleh digunakan untuk tujuan politik bagi semua parti termasuk Pakatan Harapan kecuali menjalankan aktiviti lain termasuk perkhidmatan.

“Perkara itu telah diputuskan pada mesyuarat kerajaan negeri demi keharmonian rakyat,” katanya.

Ahmad Faizal berkata terdapat pihak mengambil kesempatan menggunakan premis milik kerajaan untuk tujuan politik.

"Premis itu telah dibenarkan untuk digunakan tetapi mereka telah mengetepikan syarat yang ditetapkan oleh kerajaan untuk tujuan politik.

“Sekiranya ia membabitkan perkhidmatan, kesihatan, itu bukan kerja-kerja politik tetapi sekiranya program penyampaian hadiah kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang tetapi dinaikkan bendera parti, pemimpin berucap menghentam kerajaan, itu tidak dibenarkan," katanya.

Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-14 bersambung pada suatu tarikh yang akan ditetapkan.

- Bernama