Skip to main
Logo Malaysiakini

PH henti jadi 'tin kosong' fokus isu rakyat - Penganalisis

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Mengulas kaji selidik oleh Merdeka Center mengenai tahap keyakinan rakyat terhadap PH semalam, penganalisis menyifatkan kerajaan yang ditadbir oleh empat gabungan parti itu harus menjadikan kajian tersebut sebagai panduan untuk memperbaiki prestasi mereka kepada rakyat.

Prof Kartini Aboo Thalib dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, peluang yang diberikan PH untuk menunaikan manifestonya ketika PRU14 lalu harus digunakan sebaik mungkin untuk mengatur strategi mereka.

“Tindakan Merdeka Center membuat kajian itu bagus kerana ia memberi maklum balas rakyat mengenai PH dan PH harus ambil segala komen itu untuk perbaiki dan mantapkan pentadbiran.

“Mulakan kerja anda dan berhenti buat bising serta 'jangan jadi tin kosong'. Mula dengan menumpukan pada hal-hal penting dalam kalangan masyarakat yang perlu diperbaiki,” katanya kepada Malaysiakini.

Hasil tinjauan Merdeka Center semalam menunjukkan keyakinan pengundi terhadap pentadbiran PH dalam mengurus ekonomi setakat bulan lalu jauh merosot berbanding ketika mula mengambil alih kuasa pada Mei 2018.

Jangan pandang ringan

Bagaimanapun, majoriti responden merasakan kerajaan perlu diberi lebih masa untuk menunaikan janji yang dibuat dalam manifesto PRU14, termasuk majoriti 52 peratus pengundi Melayu yang lebih kritikal terhadap kerajaan baru.

Kartini juga menasihatkan rakyat supaya tidak cepat melatah dengan mengadili PH yang baru mentadbir negara dalam tempoh setahun berbanding BN yang pernah mentadbir lebih dari 60 tahun.

“Lima tahun adalah tempoh yang sesuai untuk mengukur kerajaan dan hala tuju.

“Masih ada peluang sebab PH ada baki empat tahun untuk buktikan pentadbiran yang baik berdasarkan aspirasi rakyat,” katanya.

Prof Awang Azman Awang Pawi dari Univerisiti Malaya (UM) pula mengingatkan PH supaya tidak memandang ringan dengan peluang yang diberikan rakyat untuk penuhi manifesto mereka.

“Tempoh ini tidaklah harus berpanjangan. Paling kurang pun di antara dua hingga tiga tahun.

“Sekiranya melebihi tempoh ini, prestasi PH masih di tahap sama seperti sekarang, maka PH bakal menjadi kerajaan satu penggal sahaja,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kajian itu, Awang Azman berkata kerajaan perlu lebih mendengar suara rakyat dengan menyaksikan sendiri realiti sebenar kehidupan rakyat biasa yang terjejas dengan keadaan ekonomi semasa yang membebankan mereka.

Sambil mengulas lanjut mengenai kajian dari badan pemikir tersebut yang turut menyatakan cadangan PH untuk memansuhkan hukuman mati tidak mendapat sambutan, dia berkata ia kerana penghapusan tersebut tidak memberi keuntungan secara langsung kepada rakyat.

“Pendirian PH untuk memansuhkan hukuman mati tak dapat sokongan daripada majoriti pelbagai bangsa sebab keutamaan rakyat Malaysia ialah mahukan situasi ekonomi yang lebih baik.

“Penghapusan tersebut tidak ada kaitan dapat bantu ‘bread and butter’ (kos sara hidup) kehidupan rakyat,” katanya.

Menurut kajian itu, majoriti daripada pengundi merasakan PH melakukan beberapa dasar yang tidak mendapat sambutan daripada pengundi.

Antaranya hukuman mandatori mati yang menunjukkan 69 peratus responden tidak bersetuju dengan langkah kerajaan itu, manakala 21 peratus menyokong langkah tersebut.

Rakyat kritik sebab tak faham 

Prof Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Univerisiti Utara Malaysia (UUM) turut senada dengan Kartini dan Awang Azman yang berpendapat keyakinan rakyat terhadap PH menguruskan ekonomi disebabkan mereka masih terjejas dengan faktor seperti kos sara hidup, peluang ekonomi yang terbatas dan peluang peekrjaan.

Jelasnya, rakyat tidak faham bagaimana langkah PH dalam mencari penyelesaian dengan isu-isu berkaitan projek mega sebenarnya secara tidak langsung akan menyelesaikan isu ekonomi negara.

Mohd Azizuddin berkata kerajaan sebelum ini telah membuat kesilapan dari segi komunikasi apabila tidak memberikan penjelasan yang meluas kepada rakyat terutamanya golongan B40, mengenai usaha yang sedang dilakukan oleh kerajaan.

“Bila isu (projek-projek mega) ini dapat diselesaikan, barulah ekonomi itu akan bergerak balik dan rakyat pun akan rasa peluang kerja, duit poket ada lebih, harga barangan dapat distabilkan.

“Bila rakyat rasa keselesaan itu, mereka akan diam dan berhenti kritik.

“Komunikasi itu tak dilakukan secara meluas, menyebabkan rakyat lebih percaya dengan komen-komen di media sosial daripada realiti sebenar apa yang kerajaan tengah buat,” katanya.

Tiga isu utama yang dianggap penting oleh responden ialah inflasi (54 peratus), rasuah (23 peratus) dan soal hak Melayu atau layanan sama rata (23 peratus).

Jika dibandingkan dengan tinjauan Merdeka Center pada Ogos 2018, peratusan responden yang merasakan inflasi sebagai isu penting meningkat empat peratus, manakala soal hak Melayu atau layanan sama rata naik satu peratus.

Merdeka Center mengadakan kaji selidik dari 5 hingga 11 Mac, melibatkan 1,204 pengundi berusia 21 tahun ke atas.