Skip to main
Logo Malaysiakini

Hari ke-10: Saksi sahkan jutaan ringgit bayar overdraf

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Perbicaraan kes pecah amanah dan salah guna kuasa ke atas bekas perdana menteri, Najib Razak, bersambung untuk sehari lagi hari ini.

Memasuki hari ke-10 Najib akan hadir untuk dibicarakan di depan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Malaysiakini terus membawakan liputan secara langsung perbicaraan yang menarik minat orang ramai itu di sini hari ini.

LANGSUNG

5.33 petang - Prosiding hari ini berakhir dan akan bersambung semula esok.

5.15 petang - Ketika pemeriksaan balas terhadap saksi Uma Devi, peguam Harvinderjit cuba menunjukkan jutaan ringgit mengalir keluar dan masuk di antara tiga bank akaun Ambank yang dikaitkan dengan kes Najib bagi membayar semula (to cover) status Overdraf yang berjumlah jutaan ringgit.

Harvinderjit: Secara ringkasnya, wang bergerak masuk dan keluar di antara tiga akaun bagi membayar (to cover) Overdraf dalam akaun berakhir, antaranya dengan 880 dan 906?

Uma Devi: Ya.

Terdahulu, Harvinderjit meneliti beberapa transaksi di antara tiga akaun berkenaan sekurang-kurangnya dari 2013 ke 2015.

3.24 petang - Isu Najib memulangkan derma AS$620 juta kepada seorang penyumbang Arab Saudi timbul ketika pemeriksaan balas peguam Haevinderjit terhadap saksi Uma Devi.

Ketika merujuk surat bertarikh 30 Julai 2013, Harvinderjit membacakan isi kandungan sepucuk surat yang didakwa daripada Najib.

"Saya menyampaikan arahan kepada kamu (Ambank) untuk menukar dana dalam akaun semasa berjumlah AS$620 juta dan untuk mengirimkan pemindahan mata wang asing ini ke dalam satu pemindahan terhadap suatu hadiah peribadi yang saya terima sebagaimana pada surat kebenaran," kata Harvinderjit membacakan surat itu.

Peguam itu kemudian menunjukkan kepada Uma Devi seolah-olah terdapat hal yang tidak konsisten antara surat ini dan surat lain yang nampaknya menunjukkan banyak transaksi.

"Adakah anda bersetuju bahawa kelihatannya bank ini telah memperakui sejumlah wang yang dikreditkan ke dalam akaun itu merupakan suatu derma dan hadiah, dan suatu representasi kepada bank pada tahun 2013, saya akan memulangkan semula bahagian yang tidak digunakan," kata Harvinderjit sambil menjelaskan ini bermakna wang tersebut dikembalikan kepada penghantar.

Pada tahun 2013, Najib terlibat dalam kontroversi isu derma RM2.6 bilion, yang kononnya diterima daripada Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz As-Saud.

Ketika itu, Najib dilaporkan mendakwa menerima wang ke dalam akaun peribadinya pada Mac 2013, sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.

Bekas perdana menteri mendakwa AS$620 juta yang tidak digunakan dikembalikan berbanding dengan AS$681 juta yang diterima.

2.30 petang - Mahkamah bersambung selepas makan tengahari, pihak pembelaan menyambung melakukan pemeriksaan balas terhadap pengurus cawangan Ambank Raja Chula selepas rehat makan tengah hari dari jam 1 ke 2.15 petang tadi.

The defence's cross-examination of Ambank Raja Chulan branch manager R Uma Devi resumes after a lunch break from 1pm-2.15pm. 

11.50 pagi: Menurut R Uma Devi, akaun syarikat Gandingan Mentari di Ambank dianggap berisiko tinggi. Justeru, kata pengurus bank itu, ia tertakluk kepada pemantauan tambahan oleh jabatan pematuhan mereka.

Masih memberi keterangan semasa disoal balasa peguam bela Najib Razak, Uma Devi berkata aspek risiko itu diperkirakan bank berdasarkan kriteria sistem mereka.

Harvinderjit: Apakah perbezaannya jika ia (sesuatu akaun) ditandakan sebagai berisiko tinggi?

Uma Devi: Akan ada pemantauan oleh jabatan pematuhan. Mereka akan meneliti sesebuah akaun itu secara berterusan.

Ditanya Harvinderjit mengenai cara jabatan pematuhan berperanan sebagai unit semak dan imbang, Uma Devi menjelaskan, proses tersebut dibuat secara bulanan.

11.20 pagi: Saksi pendakwaan, R Uma Devi, memberitahu mahkamah pengurus perhubungan awam Ambnak tidak boleh berbincang dengan seseorang yang ada di pusat pemprosesan cek bank itu untuk membenarkan cek tidak ditandatangani orang yang bukan sepatutnya ditunaikan.

Pengurus Ambank cawangan Jalan Raja Chulan itu berkata demikian semasa disoal balas peguam bela Harvinderjit Singh.

Saksi pendakwaan, R Uma Devi (kanan) yang menyambung keterangannya hari ini.

Saksi terbabit juga memberitahu butiran akaun yang disimpan pihak bank adalah selamat dan tidak boleh diganggu kecuali oleh seseorang yang ada dalam bank itu sendiri.

Harvinderjit bertanyakan soalan itu semasa mendapatkan maklumat lanjut mengenai dokumen dan kebenaran transaksi yang dirampas pegawai Bank Negara dari bank terbabit pada 6 Julai 2015.

9.30 pagi: Peguam Negara Tommy Thomas membuat permohonan agar mahkamah menetapkan masa yang sesuai bagi perbicaraan berlangsung sepanjang Ramadan nanti.

Umat Islam di negara ini dijangka mula berpuasa Isnin depan.

Thomas yang mengetuai pasukan pendakwaan mencadangkan agar perbicaraan berlangsung dari jam 9 pagi hingga 3 petang untuk membolehkan pihak yang terbabit pulang awal dan bersedia untuk berbuka.

Beliau juga menyarankan mahkamah memberikan waktu rehat yang pendek di antara perbicaraan tersebut.

Thomas: Adakah itu sesuai, yang arif?

Mohd Nazlan: Apa kata kita bermula lebih awal?

Thomas: Boleh. Kami memang benar-benar mahu (prosiding) ditamatkan pada jam 3 petang, jadi (bermula) jam 8.30 pagi tak ada masalah.

Bagaimanapun ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah tidak bersetuju perbicaraan berlangsung tanpa rehat sewajarnya pada waktu tengah hari.

Kata peguam kanan itu mahkamah wajar mengambil kira keperluan orang bukan beragama Islam. Justeru beliau menyarahkan hakim memberi tempoh rehat di antara 30 hingga 45 minit supaya orang bukan beragama Islam boleh makan tengah hari.

Kata Shafee waktu rehat itu juga memberi ruang kepada Muslim untuk bersolat.

Shafee: Kita boleh tamat pada jam 3 petang, tak ada masalah. Tapi kita tak wajar memaksa semua orang supaya tidak berehat untuk makan tengah hari.

Shafee juga berpendapat memulakan perbicaraan pada jam 8.30 pagi tidak sesuai kerana beliau tidak boleh memberi arahan kepada kakitangan sokongannya untuk memulakan kerja-kerja pentadbiran sebelum jam 8 pagi.

Hakim Mohd Nazlan kemudian membuat ketetapan agar perbicaraan bermula jam 9 pagi sepanjang Ramadan dan berakhir pada jam 3.30 petang untuk memberi masa kepada bukan Muslim makan tengah hari.

9.25 pagi: Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan Najib Razak untuk mengetepikan semua tujuh tuduhan yang dikenakan ke atas bekas perdana menteri itu.

Kata hakim Najib tidak dikelirukan atau prejudis dengan cara tuduhan itu disediakan.

Katanya pasukan pembelaan juga diberikan dokumen yang berkaitan.

"Setakat ini sembilan hari berlalu dengan 21 saksi memberi keterangan, dengan soal balas yang ekstensif, dengan permohonan untuk dokumen daripada saksi dan dibenarkan mahkamah, sukar untuk menerima bahawa pembelaan (tertuduh) dikelirukan dengan dakwaan-dakwaan tersebut," katanya.

9.19 pagi: Najib Razak masuk ke kandang tertuduh untuk membolehkan perbicaraan bermula.

8.48 pagi: Berbaju sut kelabu cerah, Najib Razak memasuki mahkamah dan mengambil tempat di bahagian depan galeri awam untuk menunggu prosiding bermula. 

Pagi ini hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dijadual membuat keputusan mengenai permohonan Najib mengetepikan semua tuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Anak kepada bekas perdana menteri kedua Malaysia itu didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang harfam dan satu tuduhan salah guna kuasa.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram

 

Jika disabitkan kesalahan beliau boleh dipenjara sehingga 20 tahun, rotan dan denda mengikut peruntukan dalam akta-akta pendakwaan.

Sebelum perbicaraan ditangguhkan pada 26 April untuk disambung hari ini salah seorang peguam bela Najib mendakwa bekas perdana menteri itu terkeliru dengan kata-kata dalam kertas pendakwaan, menyebabkan berlakunya kesalahlaksanaan keadilan (miscarriage of justice).

Kamarul Hisham Kamaruddin ketika berhujah di hadapan Mohd Nazlan berkata kata-kata pertuduhan mengenai butiran kesalahan tidak memberikan makluman mencukupi kepada Najib untuk mengetahui apakah tuduhan terhadapnya dan menyediakan pembelaan secara wajar.

"Di sini, tertuduh (Najib) tidak mempunyai notis yang mencukupi tentang apa yang dia dituduh selaku (ketika menjadi) perdana menteri," katanya.