Skip to main
Logo Malaysiakini

Kalau pengecut, istana Johor bukan alasan, kata Zaid

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pakatan Harapan (PH) tidak sepatutnya mempersalahkan pihak istana Johor apabila negara menarik balik daripada meratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), kata bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim.

Malah, menurutnya, tidak perlu diadakan forum awam membincangkan peranan raja berperlembagaan.

"Tak perlu forum awam mengenai peranan istana. Atau menarik perhatian awam mengenai Statut Rom.

"Faktanya kamu gentar untuk meratifikasinya. Semuanya di bawah bidang kuasa kamu, jadi jangan serang Johor kerana sikap pengecut sendiri," katanya pada ciapan di Twitter tengah hari tadi.

Pada 5 April lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Malaysia menarik diri daripada menyertai Statut Rom.

Beliau juga seakan-akan menyalahkan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana menimbulkan kekeliruan terhadap perkara itu.

Tunku Ismail lantang mengkritik Statut Rom, berkata perjanjian tersebut boleh mengancam kedudukan Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu dan agama Islam.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah kemudian mendakwa terdapat "daulah terpendam" yang ingin menjatuhkan kerajaan PH melalui cara tidak demokratik, manakala Mahathir berkata terdapat usaha melaga-lagakan beliau dengan istana.

Mahathir juga dilihat tidak sehaluan dengan istana Johor mengenai isu menteri besar dan rombakan exco negeri.

Minggu lalu, perdana menteri berkata masih belum ada maklum balas daripada Agong mengenai calon ketua hakim negara baru walaupun Putrajaya telah mengemukakan nama.

Jawatan itu kosong sejak 12 April lalu berikutan persaraan Richard Malanjum.

Laporan Straits Times Singapura mendakwa Majlis Raja-Raja sengaja 'tidak memberikan maklum balasnya' bagi menghantar mesej kepada Putrajaya.

[Baca berita asal]