Skip to main
Logo Malaysiakini

Oportunis dan enam perkataan

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

ULASAN | Minggu lepas saya sudah kongsi bagaimana Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan telah diubah dari ayat asalnya yang diambil dari Perjanjian Malaysia 1963. Hari ini, akan diceritakan pula bagaimana usaha untuk mengembalikan ayat asal itu digagalkan oleh 59 orang.

10 April. Walaupun saya tak ikut beliau di twitter, entah bagaimana tweet beliau muncul di paparan skrin telefon bimbit saya. Tweetnya berbunyi seperti ini:

“GPS only did what Pakatan used to do as opposition. Request for the amendment to be referred to a select committee and insert reference to MA63 in the amendment. It was entirely reasonable. And GPS whip @PetrajayaMP said if govt agreed, the amendment would pass last night.”



Baca: ‘Dosa’ kepada rakyat Sabah, Sarawak


Mulanya saya tidak ambil peduli pasal tweet ini kerana ia datang daripada seorang ahli parlimen yang tidak berdebat pun ketika usul pindaan ini dibentangkan di Parlimen. Dahlah tak debat, datang masa untuk undi pun tak juga. Jadi, pada saya ini adalah sekadar tweet orang oportunis yang buat-buat tahu.

Tetapi, saya tidak dapat mengawal diri untuk membalas apabila ketua whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang disebut dalam Twitter itu muncul dan mengatakan “No mention of MA63 when MA63 is the agreement that formed Malaysia.

Oportunis tak ambil ‘port’

Selepas itu, berlangsunglah siri membalas hujah yang saya akui sangat berhemah, tanpa emosi dan tanpa caci maki. Bahkan sang oportunis yang memulakan tweet itu pun tak ambil “port”. Sekali lagi membenarkan telahan saya yang dia buat-buat tahu mengenai perkara ini.

9 April. Sekitar jam 2.30 petang, perdana menteri membentangkan usul meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan agar setiap perkataan dan hurufnya sama seperti apa yang terkandung dalam Perkara 4 Perjanjian Malaysia. Macam tekan ctrl A kemudian C dan V di papan kekunci komputer. Tak kurang, tak lebih. Selepas itu bermulalah sesi perdebatan yang berlangsung sehingga jam 9.30 malam.

Sidang parlimen. Gambar hiasan.

Tujuh jam perdebatan antara ahli-ahli Dewan Rakyat berkenaan pindaan satu peruntukan ini sahaja. Berbeza pada tahun 1976, terdapat peruntukan-peruntukan lain dalam perlembagaan selain daripada Perkara 1(2) yang perlu didebatkan yang jika kita baca hansard, tidak ramai yang menyentuh peruntukan ini.

Cadangan agar pindaan ini dibawa ke jawatankuasa khas, pada pandangan saya, tidaklah terlalu atas satu sebab: pindaan ini hanya menggunakan semula ayat yang ada dalam Perjanjian Malaysia 1963. Ia bukanlah satu perkara yang baharu seperti yang dibuat oleh kerajaan terdahulu semasa menggubal undang-undang seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), Akta Pencegahan Keganasan (Pota) 2015 dan sebagainya. Justeru, kerajaan menawarkan sesuatu yang lebih baik; menubuhkan jawatankuasa pilihan khas untuk membincangkan pelaksanaan keseluruhan Perjanjian Malaysia 1963 ini akan ditubuhkan untuk memberi input kepada jawatankuasa khas kabinet yang sedang menyemak perjanjian ini sejak Disember yang lalu.

Enam perkataan

Dan undi belah bahagi dijalankan sekitar jam 10 lebih. Keputusan diumumkan: 138 ahli Dewan Rakyat menyokong sementara 59 ahli Dewan Rakyat memilih untuk tidak mengundi. Bererti, pindaan tidak diluluskan kerana kekurangan 10 undi untuk mencapai majoriti dua pertiga.

Titik perbezaan antara kerajaan dan GPS (saya fikir hanya GPS sahaja yang mahukan perkara ini. Parti-parti pembangkang lain hanya mengikut saja) adalah keinginan GPS yang mahu enam perkataan ini dimasukkan dalam pindaan tersebut:

In pursuant of Malaysia Agreement 1963.

Dalam kata lain, pendirian GPS adalah “benda boleh tambah enam perkataan, nak pakai ayat yang asal buat apa”.

Maka, berlakulah sejarah buat kali pertama usul di Dewan Rakyat tidak diluluskan; telah keluarlah ia daripada stigma rubber stamp seperti yang dilakukan oleh Dewan Negara tahun lepas semasa pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar dibentangkan.

Dan malam itu juga membuktikan empat perkara.

Pertama, GPS tidak mahu ayat asal Perkara 4 Perjanjian Malaysia 1963 digunakan untuk meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

Kedua, ahli Dewan Rakyat yang bebas dan juga pembangkang dari Sabah (kecuali YB Kinabatangan) semuanya menyokong usul ini. Sedikit sebanyak adanya dwipartisan yang pada saya tidak pernah lagi berlaku sebelum ini.

Ketiga, meskipun usul pindaan ini gagal, kerajaan tetap mengotakan janjinya untuk menubuhkan jawatankuasa pilihan khas untuk membincangkan pelaksanaan keseluruhan Perjanjian Malaysia 1963.

Keempat, orang oportunis memang selalu buat-buat tahu tapi sebenarnya…

Pindaan kosmetik

Kegagalan pindaan ini tidak bererti usaha untuk melaksanakan apa yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 perlu dihentikan. Ada yang memanggil pindaan ini adalah pindaan kosmetik tetapi saya melihat dari sudut pandang yang berbeza; ia adalah pindaan untuk membetulkan perkara yang asas sebelum hal-hal yang lebih besar seperti ekonomi dan sebagainya dapat diperbetulkan.

Pendek kata, tak guna kemas dalam rumah kalau pintu rumah itu sendiri tidak dibaiki.

Saya juga ingin mengucapkan penghargaan kepada Fadillah Yusof yang bersama-sama memberikan pandangan di Twitter dengan cara yang classy. Beliau berdebat dalam parlimen, memilih untuk tidak mengundi usul tersebut dan terus berhujah di media sosial. Kesungguhan beliau ini tidak dibuat-buat, beliau memang tahu apa yang dia cakap atau tweet!


ZHARIF BADRUL ialah seorang graduan undang-undang yang telah didaftarkan sebagai peguam cara dan peguam bela, aktivis politik, penulis novel dan berkicau ikut keperluan di twitternya @zharifbadrul6.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.