Skip to main
Logo Malaysiakini

Perwakilan DAP bahas persidangan tahunan secara tertutup

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Sesi perbahasan dalam Persidangan Kebangsaan DAP hari ini dilakukan secara tertutup berbanding amalan yang telah dilakukan sejak 10 tahun lalu di mana acara itu dibuka untuk liputan media.

Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng memberitahu pemberita bahawa sesi tertutup bersama 969 perwakilan di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam itu untuk memberi laluan kepada perbincangan mengenai isu dasar.

"Sekarang kita berada dalam kerajaan, kita mahu membincangkan isu-isu yang penting untuk dasar, yang perlu dirahsiakan," kata Lim yang juga Menteri Kewangan.

Media dibenarkan membuat laporan sesi pembukaan melibatkan ucapan daripada pengerusi DAP Tan Kok Wai, ucapan dasar yang disampaikan Lim dan ucapan presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Sesi pembukaan berakhir pada kira-kira jam 11.30 pagi sebelum sesi tertutup diadakan selepas jam 1 petang sehingga agenda persidangan berakhir jam 5.30 petang.

Menurut program rasminya, antara perkara-perkara yang dijadualkan dibincangkan adalah pindaan kepada perlembagaan parti.

'Urusan tadbir urus dalaman'

Ditanya sama ada acara tertutup itu dilakukan kerana bimbang isu-isu sensitif akan dibangkitkan, Lim berkata terdapat beberapa perkara mengenai "urusan tadbir urus dalaman" yang dibincangkan.

"Kami mahu adakan perbincangan secara terus terang," katanya.

Secara berasingan, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berkata sesi tertutup itu dibuat bagi menggalakkan perwakilan parti memberikan pandangan mereka.

"Kami mahu semua memberikan pandangan mereka.

"Kami tidak mahu laporan terpilih, kami mahu mengelakkannya," kata Lim.

Disember tahun lalu, Lim memperlekehkan presiden MCA, Wee Ka Siong kerana Mesyuarat Agung Tahunan parti komponen BN itu diadakan secara tertutup.

Anggota Parlimen Iskandar Puteri itu pada masa itu mendakwa Wee takut media akan melaporkan kemarahan ahli MCA atas peranan parti itu dalam mempertahankan bekas perdana menteri Najib Razak dalam skandal 1MDB.