Skip to main
Logo Malaysiakini

Lynas: Australia tak terima sisa kerana undang-undang

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Keputusan Australia Barat untuk tidak menerima sisa radioaktif dari luar negara bukan sahaja tertakhluk kepada syarikat Lynas semata-mata, maklum Pengarah Urusan dan Naib Presiden Lynas, Mashal Ahmad.

Mashal berkata demikian sebagai merujuk laporan kerajaan Australia Barat tidak akan menerima import sisa 'Water Leached Purification' (WLP) yang keluarkan kilang Lynas kerana undang-undang menghalang menerima sisa buangan perlombongan dari negara lain.

“Malaysia juga ada undang-undang serupa bagi menghalang pengimportan sisa buangan daripada bahan mentah yang telah melalui proses tambah nilai di luar negara.

“Tak betul jika dikatakan keputusan Australia Barat itu hanya dikaitkan dengan bahan daripada Lynas sahaja, atau (dakwaan) Australia tidak akan membenarkan (operasi) loji pemprosesan nadir bumi,” katanya dalam satu kenyataan.

Mashal turut mengambil maklum laporan media mengenai kerajaan Australia Barat yang dikatakan bersikap terbuka untuk membincangkan cadangan untuk memproses nadir bumi di negara itu.

Baru-baru ini Lynas berkata syarikat itu antaranya sedang meneroka untuk memproses nadir bumi yang dilombong di Mount Weld di Australia Barat sebelum menghantarnya ke Malaysia supaya mengelakkan untuk menimbunkan sisa buangan itu di loji Lynas Kuantan.

“Lynas sebelum ini telah mendapat kelulusan untuk memproses bahan berkenaan di Australia,” kata Mashal lagi.

Putrajaya berkata tidak akan membenarkan penimbunan tanpa had sisa buangan loji Lynas di Gebeng.

Setakat Disember tahun lalu, jumlah sisa buangan dalam bentuk WLP di loji Lynas Gebeng ialah sebanyak 451,564 tan, manakala sisa buangan dalam bentuk ‘Neutralization Underflow Residue' (NUF) pula berjumlah 1.113 juta tan.

Semalam, akhbar The Australian melaporkan Menteri Perlombongan, Petroleum, Tenaga dan Hubungan Industri Australia Barat, Bill Johnston mengakui cara terbaik untuk membuang sisa itu adalah dengan mengembalikan ke tempat asalnya.

Bagaimanapun, beliau berkata Australia Barat tidak akan mengambil sisa tersebut dari luar negeri.