Hari ke-16: Najib nafi berswafoto semasa perbicaraan
LANGSUNG | Perbicaraan kes membabitkan Najib Razak masuk hari ke-16 hari ini.
Pagi tadi selain Najib bekas perdana menteri itu, kemunculan bekas pegawai kanan pentadbiran beliau juga menarik perhatian.
Irwan Serigar Abdullah hadir kerana kes pecah amanah yang dikaitkan dengannya akan didengar sebelum perbicaraan Najib dimulakan.
Malaysiakini membawakan laporan langsung perbicaraan berprofil tinggi itu di sini.
LANGSUNG
6 petang: Terima kasih kerana mengikuti laporan langsung kami hari ini.
Laporan oleh Hariz Mohd dan Hidir Reduan. Kemas kini media sosial oleh Ewe Ling Yenn.
Sokong media bebas dengan menyertai program langganan kami, serendah RM0.55 sehari. Maklumat lanjut di sini.
3.45 petang: Hakim menangguhkan perbicaraan untuk disambung semula pagi esok.
3 petang: Panel pelaburan KWAP bimbang terhadap permohonan pinjaman SRC Int sebanyak RM2 bilion memandangkan syarikat itu dibuka dengan modal berbayar hanya RM2.
Naib Presiden (Undang-undang) KWAP, Azlida Mazni Arshad, dalam keterangannya berkata anggota panel terbabit berpendapat pinjaman sebanyak RM2 bilion itu adalah terlalu besar untuk SRC.
"Panel khas berpandangan RM2 bilion adalah terlalu banyak untuk sebuah syarikat yang memiliki modal berbayar RM2, justeru mereka bersetuju untuk meluluskan pinjaman sebanyak RM1 bilion melalui mesyuarat pada 5 Julai 2011," katanya.
2.10 petang: Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memberi amaran, membuat rakaman semasa perbicaraan berlangsung boleh dianggap sangat hampir dengan perbuatan menghina mahkamah.
Katanya jika ada sesiapa didapati terbabit telefon genggam mereka boleh dirampas.
2 petang: Perbicaraan sesi petang bermula.
Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram meminta panduan daripada hakim berhubung laporan ada orang mengambil swafoto semasa perbicaraan berlangsung.
Katanya laporan media menyatakan tertuduh, Najib Razak, turut mengambil swafoto dalam kandang tertuduh namun dia tidak dapat mengesahkannya secara peribadi.
Permohonan pegawai pendakwa itu mendorong ketua pembelaan, Muhammad Shafee Abdullah mencelah dan menafikan bekas perdana menteri itu bertindak seperti apa yang dilaporkan media.
Katanya laporan media berkenaan adalah "mengarut" dan memohon agar hakim bertanya sama ada Najib melakukan perbuatan itu atau tidak.
Najib kemudian menyatakan beliau hanya menggunakan kamera pada telefon genggamnya sebagai cermin, bukan mengambil swafoto.
12.50 tengah hari: Bekas pegawai Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Amirah Muhamad Nor, disoal peguam bela Harvinderjit Singh berkenaan persamaan salah satu perenggan kenyataannya dengan seorang lagi saksi, pegawai agensi berkenaan, R M Ambalagam.
Semasa pemeriksaan balas peguam itu memberitahu saksi pendakwaan ke-34 berkenaan, berlaku persamaan kenyataan di antara Amirah dengan saksi sebelumnya.
Kata Harvinderjit, kenyataan dibuat Amirah itu "mengagumkan" kerana sama dengan keterangan Ambalagam.
Harviderjit: Puan boleh sahkan dalam kedua-dua kenyataan saksi - puan dan Anbalagam, pada perenggan 13, 16 dan 17, perkataan-perkataan itu juga terkandungan di perenggan sembilan, 12 dan 13 Anbalagam
Amirah: Saya maklumkan tadi, dokumen ini ini telah dibantu pegawai SPRM, ayatnya, tapi maklumat daripada saya.
Harviderjit: Ayat itu ditaipkan? Pada akhirnya dokumen itu memang ditaip dan maklumat datang daripada anda tapi ayat daripada mereka (SPRM). Sebab mustahil untuk dua orang membuat (keterangan) dengan perenggan sama. Adalah jelas kenyataan ini disediakan secara universal dan ditunjukkan kepada anda.
Amirah: Perkataan-perkataan yang anda sebut sebentar tadi cuma proses.
Harvinderjit: Saya setuju, tapi perkataan-perkataan itu datang daripada mereka, setuju?
Amirah: Ya.
Harvinderjit: Adakan anda melihat keterangan saksi Ambalagam banyak kali?
Amirah: Tidak.
Harvinderjit: Kamu hanya melihat kenyataan kesaksian kamu?
Amirah: Ya.
Harvinderjit: Kamu tidak tahu keterangan kamu sama dengan Ambalagam?
Amirah: Tidak.
Pada satu ketika Harvinderjit berkata persamaan kenyataan itu "mengagumkan" dan menganggap ia aneh.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian bertanya sama ada perkataan "mengagumkan" itu memang dimaksudkan oleh Harvinderjit.
Mohd Nazlan: Apa yang kamu cuma sampaikan (kalau) dalam bahasa Inggeris?
Harvinderjit: Amaze me. Amazing, Mungkin saya tersilap menggunakan perkataan tadi (sambil ketawa kecil).
Semasa disoal lanjut Amirah memberitahu persamaan keterangan itu berlaku kerana dia dan Ambalagam memang tahu proses yang berlaku untuk membuat baucer bayaran bagi bayaran peringkat kedua sebanyak RM2 bilion yang dipinjamkan oleh KWAP kepada syarikat SRC Int.
Untuk rekod Amirah dan Ambalagam terbabit dalam pengeliaran baucer bayaran daripada KWAP.
Saksi: RM30 juta dipindahkan dari Permai Binaraya to SRC
11.08 pagi: Pegawai Maybank Norlina mengesahkan RM30 juta dipindahkan dari akaun Maybank Permai Binaraya ke akaun AmIslamic SRC Internationa pada 7 Januari 2015.
Saksi juga mengesahkan RM105 juta dari SRC kepada Putra Perdana Construction.
10.49 pagi: Saksi ke-32 perbicaraan, pegawai Maybank yang dikenali sebagai Azlina mengesahkan SRC International memindahkan RM105 juta dari akaun AmIslamic ke akaun Maybank Putra Perdana Construction pada 14 Julai 2014.
Pegawai Unit Rentas Maybank itu berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Sulaiman Kho.
10.30 pagi: Penolong Pengurus Maybank Kuala Lumpur Halijah Abdul Wahab berkata ada kemungkinan proses pelapisan (layering) terbabit dalam dua transaksi dari Permai Binaraya Sdn Bhd ke SRC International Sdn Bhd pada 7 Jan 2015.
Memberi keterangan semasa disoal balas Muhammad Shafee, Halijah memberitahu mahkamah transaksi berjumlah RM30 juta itu dibuat melalui sepucuk surah arahan dan cek dalaman.
Shafee: Ini adalah surat arahan Permai Binaraya pada 7 Jan 2015 in favour of SRC, benar?
Halijah: Benar.
Shafee: Transaksi ini dibuat berdasarkan arahan?
Halijah: Benar.
Shafee: Sekarang lihat P444, ada sekeping cek. Boleh sahkah ia dikeluarkan oleh Permai Binaraya Sdn Bhd untuk Maybank bagi jumlah sama iaitu RM15 juta?
Haliljah: Ya, 7 Jan 2015
Shafee: Surat arahan dengan tarikh sama?
Halijah: Ya.
Apabila ditanya keperluan cek itu dikeluarkan ketika Permai Binaraya juga mengeluarkan arahan supaya wang dengan jumlah sama dibuat kepada penerima sama, Halijah menjawab, arahan itu adalah supaya Maybank memindahkan dana tersebut kepada Ambank.
Katanya pengeluaran cek adalah supaya jumlah yang didebit dari akaun Permai Binaraya dipindahkan ke SRC.
Halijah juga berkata dia tidak pasti apa keperluan bagi syarikat berkenaan mengeluarkan surat arahan dan cek dengan nilai yang sama untuk penerima sama.
Shafee: Boleh saya cadangkan kepada puan, ia tidak perlu? Ada sesuatu yang lebih daripada apa yang ada pada dokumen itu.
Halijah: Saya faham, tetapi pelanggan boleh memilih cara bagaimana transaksi mereka dilakukan.
Shafee kemudian mencadangkan, pihak yang mengeluarkan cek dan surat arahan itu sebenarnya melakukan pelapisan agar penerima sebenar sukar dikenal pasti.
Shafee: Adakah itu satu kemungkinan? Daripada orang uang mengeluarkan arahan dan cek, ia adalah proses layering, jika wan tidak dipindahkan secara langsung tetapi pergi ke bank (terlebih dulu) dan kemudian dipindahkan (kepada penerima sebenar)?
Halijah: Ada kemungkinan.
Shafee: Setakat yang puan tahu, ini tidak menarik perhatian sesiapa (di bank berkenaan) untuk menyebabkan curiga?
Halijah: Sebagai bank, mereka patut menasihatkan agar debit langsung dibuat dari akaun.
Shafee: Seperti yang pernah dilakukan sebelum ini?
Halijah: Ya.
Untuk rekod pelapisan ialah proses pengubahan wang bagi menyembunyikan sumber wang itu melalui beberapa siri transaksi atau helah simpan kira.
10.49 pagi: Saksi ke-32, Norlina, mengesahkan SRC International meindahkan wang berjumlah RM105 juta dari akaun mereka di AmIslamic Bank kepada akaun Putra Perdana Construction di Maybank pada 14 Julai 2014.
Ketua Unit Rentas Maybank itu memberi keterangan semasa disoal Timbalan Pendakwa Raya Sulaiman Kho.
10 pagi: Halijah Abdul Wahab memberitahu mahkamah, syarikat Putra Perdana Construction dan Permai Binaraya memberikan tandatangan yang sama untuk akaun masing-masing di Maybank Kuala Lumpur.
Penolong pengurus Maybank itu berkata semasa membuka akaun di cawangannya, penandatangan yang diberi kuasa oleh syarikat Permai Binaraya ialah Rosman Abdullah dan Jerome Lee.
Syarikat itu membuka akaun mereka pada 1 Julai 2014.
Kata Halijah untuk akaun Putra Perdana Construction syarikat itu membuat beberapa pertukaran untuk penandatangan yang diberi hak sejak syarikat itu membuka akaun di Maybank pada 1991.
Sebelum ini syarikat terbabit dikenali sebagai Kamunting Construction Sdn Bhd sebelum namanya ditukar mulai 17 Sept 1998.
Kata Halijah Rosman disenaraikan sebagai penandatangan untuk akaun Putra Perdana Construction melalui resolusi bertarikh 2 Mei 2012 manakala Lee pada 28 Mei 2014.
Memberi keterangan semasa disoal balas Muhammad Shafee Abdullah, Halijah berkata setakat yang diingatnya Rosman dan Lee adalah orang yang diberi kuasa menandatangani arahan perbankan untuk kedua-dua syarikat sejak tarikh itu.
Shafee: Setuju tak bahawa dalam kedua-dua syarikat juga common director (pengarah bersama) adalah Datuk Rosman bin Abu?
Halijah: Ya.
Shafee: Dan Jerome Lee Tak Loon juga jadi pengarah atau director dalam syarikat Permai?
Halijah: Jadi pengarah, saya tak pasti tapi signatory (penandatangan) adalah pasti.
Shafee kemudian menunjukkan kepada saksi terbabit beberapa dokumen yang dikemukakan sebagai bahan bukti di mahkamah sebelum Halijah mengesahkan Lee dan Rosman adalah pengarah untuk Permai Binaraya.
Bagaimanapun Lee tidak disenaraikan sebagai salah seorang pengarah untuk syarikat Putra Perdana Construction.
Shafee juga meminta Halijah membuat perbandingan di antara dua dokumen arahan daripada Permai Binaraya dan Putra Perdana Construntion kepada Maybank.
Selepas menyemak dokumen berkaitan - yang mempunya format sama - Halijah bersetuju apabila Shafee mencadangkan dokumen terbabit datang daripada dua syarikat berbeza.
10.15 pagi: Anggota Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman masuk ke mahkamah dan bersalaman dengan Najib ketika soal balas pembelaan ke atas Halijah masih berlangsung.
Tampil dengan songkok, orang kuat Umno itu mengambil tempat betul-betul di belakang kandang tertuduh yang menempatkan bekas perdana menteri itu.
Pada masa sama ketua pembelaan Najib menyoal pegawai bank itu mengenai dokumentasi berkaitan syarikat Putra Perdana Construction dan Permai Binaraya.
9.45 pagi: Ketika Muhammad Shafee Abdullah menyoal balas Halijah, Najib pula kelihatan bermain-main dengan telefon pintarnya ketika mendengar perbicaraan dari dalam kandang tertuduh.
Pada suatu ketika beliau menghidupkan kamera pandang depan peranti itu seolah-olah mahu mengambil swafoto.
Beliau kemudian merendahkan telefon tersebut sambil terus memerhatikan paparan pada skrin berkenaan ketika prosiding berlangsung.
9.30 pagi: Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan 8 Jul sebagai tarikh pengurusan kes membabitkan Najib Razak dan Irwan Serigar Abdullah.
Hakim itu membuat keputusan tersebut bagi membolehkan perbicaraan Najib atas tujuh tuduhan melakukan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat SRC International Sdn Bhd berjalan tanpa gangguan.
Permohonan itu dibuat Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup dan ketua pembelaan Najib, Muhammad Shafee Abdullah tidak membantah.
Selepas perkara itu diselesaikan Irwan Serigar melangkah keluar dari kandang tertuduh, manakala Najib kekal di situ untuk memulakan hari ke-16 perbicaraannya.
8.55 pagi: Najib bersut kelabu gelap hari ini. Beliau memasuki galeri awam dan seperti selalu duduk di barisan depan menanti perbicaraan bermula.
Kelihatan juga ialah bekas ketua setiausaha Perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah yang hadir untuk sebutan kes enam pertuduhan pecah amanah membabitkan dana sebanyak RM6.6 bilion.
Kedua-dua mereka bersalaman.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan mendengar sebutan kes membabitkan Irwan Serigar itu. Hanya selepas itu perbicaraan hari ke-16 dimulakan.
Isu yang diperhatikan ialah perjalanan dana membabitkan akaun-akaun pada bank komersial itu, SRC International Sdn Bhd (SRC), syarikat Putra Perdana Development Sdn, Putra Perdana Construction Sdn Bhd (Putra Perdana Construction), and Permai Binaraya Sdn Bhd (Permai Binaraya).
Semalam mahkamah mendengar bagaimana Halijah menjelaskan laluan transaksi itu berlaku dan sepadan dengan carta aliran yang ditunjukkan Apandi Ali pada Jan 2016.
Apandi ketika itu berkhidmat sebagai peguam negara.
Menurut Halijah dana sebanyak RM140 juta dipindahkan dari Putra Perdana Construction ke SRC pada 12 Dis 2014.
Pada hari sama sebanyak RM110 juta pula dipindahkan dari Putra Perdana Development kepada Putra Perdana Construction.
Pada 8 Jul tahun yang sama sebanyak RM27 juta dipindahkan dari Permai Binaraya ke akaun Najib Razak di Ambank.
Semasa membuat penjelasan dalam sidang medianya Apandi mengumumkan Najib bebas daripada sebarang salah laku berkaitan perpindahan wang yang masuk ke akaun anggota parlimen Pekan itu.
Lebih banyak maklumat mungkin didedahkan berhubung aliran wang tersebut apabila pasukan peguam bela Najib menyoal balas Halijah hari ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai