Setahun berlalu, aktivis PRU14 nilai kembali sokongan pada PH
LAPORAN KHAS | Kekecewaan rakyat berkenaan dakwaan rasuah dan skandal serta penyalahgunaan institusi kerajaan membawa kepada peristiwa bersejarah pada 9 Mei lalu - tumbangnya Barisan Nasional buat kali pertama.
Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan persekutuan dan Dr Mahathir Mohamad kembali sebagai perdana menteri buat kali kedua.
Selain usaha parti politik dan NGO, tidak dapat dinafikan kemenangan PH juga disumbang rakyat biasa yang menyokong seruan perubahan mereka.
Kini setahun berlalu. PH nampaknya tidak lagi menikmati populariti ketika mula mentadbir negara.
Tinjauan oleh Merdeka Center baru-baru ini mendapati hanya 46 peratus rakyat berpuas hati dengan kepimpinan Dr Mahathir, turun dari 83 peratus pada Mei lalu.
Sempena ulang tahun tahun pertama pentadbiran PH, Malaysiakini menemubual beberapa NGO dan individu yang bukan saja menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi tetapi juga membantu orang lain yang hampir dinafikan hak perlembagaan itu.
Mereka mengkritik PH kerana tidak menunaikan janji manifesto dan menunjukkan prestasi di bawah jangkaan.
Pada masa sama, mereka berkata tidak menyesal menyokong dan berusaha ke arah perubahan kerajaan, dan sanggup memberi lebih masa untuk kerajaan membuktikan pencapaiannya.
Mereka mengimbas kembali PRU ke-14 setahun lalu, menilai pentadbiran PH setakat ini dan menyatakan harapan untuk masa depan. Berikut ialah kisah mereka.
Pengasas Undi Rabu, Lee Wai Hong dan Siah Kwong Liang
Lee ialah bekas presiden Pemuda Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, manakala siah kini menggantikannya.
Lee mengaku dia tidak meletakkan jangkaan yang tinggi dan merasakan permulaan perlahan ialah perkara biasa.
"Kita tidak boleh terlalu naif dengan menjangka akan ada perubahan besar dengan kadar segera dalam kehidupan seharian kita," katanya.
Dia menyamakan proses itu dengan proses menyelesaikan hutang kad kredit besar, yang memerlukan tempoh lama.
Bagaimanapun Siah berkata PH tidak menunjukkan usaha yang memadai dalam menunaikan janji reformasi institusi.
Dia juga berkata kerajaan perlu berhenti menyalahkan BN kerana mereka kini mengawal semua agensi berkaitan.
Menurutnya, perbandingan Lee mengenai cabaran kerajaan dengan cabaran yang dihadapi rakyat biasa tidak tepat kerana kedua-duanya mempunyai tahap sumber, dan akses terhadapnya, yang berbeza.
"Anda ada kuasa, jadi dalam soal penyelesaian masalah sedia ada atau melaksanakan dasar, terpulang kepada kehendak politik anda," katanya lagi.
Pulang mengundi, Timothy Teoh dan Grace Look
Dilancarkan pada 13 April 2018, Pulang Mengundi ialah platform neutral bagi menghubungkan rakyat Malaysia dalam membantu mereka pulang ke tempat mengundi dengan menyediakan perkhidmatan berkongsi kereta dan subsidi perjalanan.
Menurut laman webnya, Pulang Mengundi dan sekutunya telah menghubungkan lebih 10,000 rakyat Malaysia dan mengumpul lebih RM105,000 sumbangan untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan bantuan untuk pulang mengundi.
Teoh berkata dia berbeza dengan orang lain yang meletakkan jangkaan "terlalu tinggi". Baginya, cukup jika kemungkinan perubahan kerajaan secara aman di Malaysia dapat dibuktikan.
Berkenaan pusingan U kerajaan dalam beberapa dasar dan keputusan penting, Teoh berkata dia sedikit kecewa tetapi ia menunjukkan kerajaan lebih responsif terhadap pandangan rakyat.
“Selain daripada pusingan U dan perubahan dasar, sekurang-kurangnya kerajaan menunjukkan mereka mendengar apa yang (rakyat) katakan. Apa saja 'kekecewaan' rakyat terhadap PH, bagi saya mereka masih pilihan yang lebih baik," katanya lagi.
Teoh dan Look juga berpendapat PH perlu diberi satu lagi peluang dalam PRU akan datang. Bagi Look, mereka perlu lebih banyak masa untuk membuktikan kemampuan.
Warga Malaysia di luar negara, Lim Chiu Yee dan Steven Lee
Lim seorang penyelia dan Steven Lee pula bekerja sebagai jurugambar.
Walaupun saling tidak mengenali, mereka berkongsi pengalaman sama - pulang untuk mengundi dan juga membawa kertas undi warga lain yang tidak dapat pulang ke tanah air.
Mereka tiba di KLIA dari Lapangan Terbang Heathrow, London. Menerusi temubual menerusi emel, Lim berkata dia membawa pulang lebih sedozen kertas undi manakala Lee hanya satu.
Mereka berkata tidak menyesal pulang mengundi. Sementara Lee yakin PH akan diberi peluang melebihi satu penggal untuk mentadbir, Lim berpandangan sebaliknya.
"Saya harap kerajaan faham yang mereka telah dipilih dan ada tanggungjawab untuk memenuhi semua janji manifesto. Jika ia hanya janji kosong, rakyat tahu apa yang perlu dilakukan pada PRU akan datang,” kata Lim, yang mengundi di Bandar Tun Razak.
Lim pemegang ijazah undang-undang dan pernah menjadi wartawan di sebuah akhbar bahasa Cina tempatan, sebelum ke UK untuk menjadi penyelia.
Mengakui kini lebih banyak peluang wujud di Malaysia, dia berkata kerajaan masih perlu menempuhi jalan sukar untuk menarik bakat mahir pulang ke tanah air, terutama dari segi gaji dan faedah yang ditawarkan.
Lee pula memang menghabiskan banyak tahun tinggal di luar negara. Baginya, isu brain drain (penghijrahan golongan profesional ke luar negara) akan menjadi cabaran kepada PH, selain usaha ke arah peningkatan gaji dan peluang sama rata untuk semua.
Jurulatih petugas ejen pengiraan dan ejen pusat mengundi (PACA) di Tindak Malaysia, Mici Soo, 45
Soo ialah ahli terapi seni dan bekas pensyarah. Dia antara individu yang terlibat dengan NGO Tindak Malaysia untuk melatih petugas PACA baru.
Selain itu dia juga berkhidmat dengan Anthony Loke di Seremban ketika PRU ke-14. Loke ketika itu menyandang kerusi parlimen Seremban dan kini menjadi menteri pengangkutan.
Mengenang kembali hari itu, Soo berkata dia gembira dengan perubahan kerajaan, tetapi tidak setuju dengan tindakan pusingan U mereka.
"Pastinya saya tidak gembira melihat. Pada masa sama, PH perlu yakinkan dan beritahu seteru mereka secara jelas sebelum buat apa-apa.
"Kita dapat lihat bagaimana pengkritik dapat memanipulasi suatu golongan untuk keluar dan menentang dasar tersebut. Jadi jika kerajaan melaksanakan sesuatu tanpa mempertimbang kebimbangan mereka, konflik boleh tercetus," kata Soo.
Soo berbeza pandangan dengan PH dalam soal GST, yang lebih disenanginya berbanding sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang menggantikannya.
Secara keseluruhan, dia berkata perubahan kerajaan telah membawa kepada reformasi institusi penting termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis, serta pendekatan lebih terbuka dan telus ketika berurusan dengan kumpulan masyarakat sivil.
Dia juga merasaka PH boleh meningkatkan komunikasi dan perhubungan (engagement) di kawasan luar bandar, terutama dalam isu reformasi yang bersifat lebih "idealistik" seperti ratifikasi beberapa konvensyen hak asasi manusia yang mencetuskan kontroversi.
Bekas aktivis pelajar, Anis Syafiqah Mohd Yusof
Anis Syafiqah hanyalah pelajar biasa ketika dia menjadi tajuk berita selepas mengetuai pergerakan Tangkap MO1 pada 2016.
'MO1" ialah kod yang digunakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) untuk merujuk bekas perdana menteri Najib Razak dalam saman sivilnya untuk mendapatkan semula aset hampir AS$1 bilion berkaitan 1MDB.
Dia bersama beberapa aktivis pelajar lain berhimpun di Kuala Lumpur dan siri protes terhadap susulan tiadanya tindakan pihak berkuasa ketika itu berhubung skandal 1MDB. Kebanyakannya dikenakan tindakan disiplin atau disiasat polis.
Ketika itu, mereka juga dikenali kerana lantang bersuara dan kritikal terhadap tindakan PH menamakan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri.
Setahun selepas Mahathir memegang jawatan itu, Anis mengakui ada penambahbaikan yang dibuat kabinetnya walaupun mereka berdepan pelbagai cabaran berbeza susulan tanggapan tinggi rakyat.
"Kejayaan kerajaan termasuk usaha ke arah perubahan, tetapi mereka juga gagal kerana beberapa prinsip mereka kini berbeza daripada ketika masih menjadi pembangkang.
"Mereka juga gagal melawan propaganda pembangkang sekarang," katanya.
Selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya, Anis kini ibu kepada seorang anak dan bertugas sebagai guru.
Seperti yang lain, dia berkata tidak menyesal dengan perubahan kerajaan, dan menyifatkan tahun 2018 sebagai titik permulaan untuk pembaharuan akan datang.
"Tetapi mereka perlu menambah baik dalam aspek sistem sokongan, perhubungan dengan orang ramai dan pengurusan konflik dalaman parti pemerintah," katanya lagi.
Bekas penyokong Umno, 'ZD'
Dengan mengambil kira 82 peratus keluar mengundi pada PRU ke-14, boleh dikatakan bahawa PH telah meraih sokongan pengundi atas pagar yang ramai, termasuk bekas penyokong BN.
Individu berusia 29 tahun yang enggan namanya didedahkan ini memberitahu Malaysiakini bahawa dia sekian lama menjadi penyokong tegar Mahathir dan Umno.
Setelah tamat pengajian di Jepun, dia pulang ke tanah air untuk mengundi BN pada PRU ke-13.
Bagi ZD, gabungan pembangkang ketika itu - Pakatan Rakyat - tidak kelihatan seperti calon yang hebat untuk menjadi kerajaan persekutuan.
Dia berkata mula hilang sokongan kepada BN pada 2015, marah dengan pentadbiran bawah bekas perdana menteri Najib Razak dan "sikap angkuh" dan "budaya samseng" yang ditampilkan sejumlah pemimpin Umno.
Katanya, sikap yang ditunjukkan mereka bukanlah seperti Umno yang dikenalinya.
Meskipun kritikan yang PH tidak mengotakan janji manifestonya, ZD mendakwa masalah itu "tidak relevan" dan pengundi didorong oleh keinginan untuk berubah.
"Daripada 100 pengundi, saya percaya hanya 10 ke 15 orang yang benar-benar membaca manifesto itu. Kami tidak mengundi kerana manifesto, jadi bagi saya ia tidak relevan,” katanya.
Mengenai sama ada dia akan terus menyokong PH dalam akan datang, ZD berkata ia bergantung kepada pencapaian keseluruhan kerajaan dan juga pembangkang.
"Ia bukan hanya bergantung kepada kerajaan ini kerana ia juga bergantung kepada siapa di pihak pembangkang. Jika pembangkang masih sama seperti sekarang, saya akan masih mengundi kerajaan ini," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai