Skip to main
Logo Malaysiakini

Gadai nyawa selamatkan jiran pada 13 Mei 1969

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Nota editor: Sempena 50 tahun rusuhan 13 Mei, Malaysiakini menerbitkan beberapa siri artikel berkaitan tragedi itu dan usaha-usaha memulihkannya. Artikel-artikel yang disiarkan mempunyai keterangan bergambar berkaitan keganasan yang berlaku. Tidak semua faktanya dapat disahkan. Bagaimanapun, bahagian yang boleh disahkan diberi pautan.


Semasa insiden 13 Mei 1969 tercetus, Datuk Foong Yee merupakan seorang inspektor polis percubaan.

Lima puluh tahun berlalu, pengalamannya merentasi jalan-jalan di Kuala Lumpur yang porak-peranda, masih lagi segar dalam ingatannya.

Dalam catatan pengalamannya ini, dia menceritakan semula bagaimana dia menyelamatkan keluarganya, seluruh perkampungannya dan jiran Melayunya daripada dibunuh oleh ahli kongsi gelap Cina.

Malah, dia juga berselisih dengan maut, apabila secara tidak sengaja memecut keretanya meluru ke arah sekumpulan pegawai tentera.

Kata Foong, dia masih ingat muncung pistol dihalakan ke kepalanya.

“Jika dia tarik picu, saya tak akan ada lagi di sini menceritakan semua ini,” katanya.

Pada tahun 2000, Foong bersara sebagai timbalan ketua polis Kuala Lumpur.

Ini ceritanya, seperti yang diceritakan kepada Tham Seen Hau.


Pada 13 Mei, saya di Kepong Baru, mengubah suai sebuah rumah yang baru dibeli oleh ayah saya. Saya di sana seharian dengan ayah saya, mak dan adik lelaki.

Lewat petang, jiran kami balik ke rumah mereka dan menceritakan bagaimana di bandar, ada masalah tercetus sehinggakan orang Cina dan Melayu saling berbunuhan.

Kami ada satu TV lama yang kami baru pasang. Kami buka TV itu dan ada berita yang menghebahkan tentang perintah berkurung sekitar Kuala Lumpur.

Perkara pertama yang terlintas di kepala ialah kami kena balik ke Kampung Limau, ikut Jalan Batu (kini Jalan Tuanku Abdul Rahman). Keluarga kami tinggal di situ, dan adik-beradik saya yang lain masih ada di situ. Jadi kami terus masuk kereta saya yang agak kecil itu, dan terus bergerak pergi.

Di tengah perjalanan ada sekumpulan lelaki Cina memegang kayu besi menghalang kereta yang lalu. Di depan saya ada sebuah kereta yang dipandu seorang Melayu. Kumpulan Cina tersebut menghentak kereta itu dengan batang besi tapi tidak apa-apakan pemandu itu.

>Bila tiba giliran saya, mereka nampak kami sekeluarga Cina. Mereka bertanya kami nak ke kemana dan bila diberitahu mereka, seorang daripada mereka menegah saya jangan ke sana kerana orang Cina di sana kena bunuh, rumah pun dibakar.

Dari jauh, saya boleh nampak kepulan asap naik ke langit. Tapi saya nekad untuk teruskan perjalanan.

Kebakaran dan huru-hara

Sepanjang perjalanan banyak kereta terbakar dan benda berselerakan di atas jalan sampaikan susah untuk memandu.

Saya sampai di satu sungai kerana tak berani teruskan perjalanan. Dulu di situ, ada Klinik Reddy yang beroperasi 24 jam dan sebuah kedai kopi. 

Sebuah kenderaan peronda polis lalu di hadapan kedai kopi tersebut dan tidak semena-mena, sekumpulan lelaki Cina menghentikan kenderaan tersebut dan sodok dengan paip besi.

Pada masa itu, saya sedar undang-undang sudah tak bermakna lagi. Saya perlu buat keputusan sendiri. 

Saya beritahu ibu bapa saya yang saya akan tinggalkan mereka di Klinik Reddy, dan saya akan ikhtiar bagaimana untuk mendapat berita tentang keadaan adik-beradik yang lain di rumah.

Ibu bapa saya melarang, mereka merayu sambil menangis supaya saya jangan pergi. Mereka kata, kalau dah ditakdirkan anak-anak mereka yang lain terkorban, biarlah sekurang-kurangnya kami berempat terus bersama. Tapi saya kata tak boleh begitu. Saya tetap mahu pergi, biarpun mereka merayu begitu. 

Saya berhenti di Balai Polis Jalan Campbell (kini Ibu Pejabat Polis Dang Wangi) untuk mendapatkan maklumat, tapi tempat itu penuh dengan orang. Huru-hara.

Dari balai polis, boleh ikut jalan semak di belakang satu bengkel di situ, jalan itu boleh bawa saya tembus terus ke Kampung Limau. Tak jauh, dalam lebih kurang 2km saja.

Semasa saya berjalan melalui semak itu, saya nampak sekumpulan orang meluru ke arah saya, mereka dah angkat parang. Saya fikir, habislah aku kali ini. Tapi mujur seorang dari mereka kenal saya. Mereka penduduk Kampung Limau. Kata mereka, kampung belum terbakar dan mereka cuba halang orang masuk ke kampung.

Macam medan perang

Perkara pertama yang saya lakukan sesudah sampai di Kampung Limau ialah ke rumah. Adik-beradik saya semua selamat.

Tidak jauh dari rumah kami adalah Sekolah Teck Meng, satu institusi swasta Cina. Penjaga di situ tak mahu buka pagar, jadi saya umpil pagar itu guna batang besi. Saya sedar, tindakan macam itu boleh undang masalah, tapi masa itu saya dah tak fikir semua itu.

Orang kampung saya semua masuk ke sekolah itu. Tak putus-putus orang masuk, sampai tempat itu pun sesak. Keadaan masa itu, macam kita lari daripada medan peranglah.

Sesetengah orang sempat bawa barang-barang peribadi mereka, yang kecil-kecil. Ada bayi, ada juga perempuan mengandung. Ada banyak bilik darjah, semuanya penuh dengan orang. Keadaan kekal begitu sampai pukul 12 malam, atau mungkin lebih lama dari itu.

Pada masa itu, saya pergi ke bumbung Sekolah Teck Meng. Saya pandang ke bawah ke arah Jalan Chow Kit dan Jalan Hale (kini Jalan Raja Alang). Saya lihat, semua benda sedang terbakar.

Saya mula menangis. Saya tanya diri sendiri, “Apa yang dah terjadi sebenarnya?”

“Kenapa?”

Pistol di kepala

Ibu bapa saya masih di Klinik Reddy jadi saya patah balik melalui jalan semak untuk mendapatkan kereta dan selamatkan mereka. Hanya kereta saya yang bergerak di atas jalan.

Dalam perjalanan, suluhan lampu kereta saya terpancar pada dapat lihat sekumpulan orang- sesetengahnya memakai kain pelikat. Saya terfikir, “Ya Tuhan, orang-orang Melayu ini akan bunuh aku.” Saya tekan pedal minyak dan kereta meluru ke arah mereka. Mereka melompat dan saya dapat dengar mereka menjerit. Tapi saya tak berhenti.

Saya lakukan yang sama apabila ternampak satu lagi kumpulan. Disebabkan takut diapa-apakan, saya terus tekan minyak dan tak berhenti langsung. Kemudian, saya nampak sesuatu yang berkilat apabila disuluh lampu kereta saya- lencana tentera! Saya terus tekan brek kuat-kuat, kali ini saya berdoa supaya kereta berhenti.

Bila kereta saya berhenti, saya dapat rasa muncung pistol dihalakan ke kepala saya. Pada masa itu, kereta saya tak ada pendingin hawa, jadi saya buka tingkap kereta.

Pemegang senjata api tersebut teragak-agak, dia tak pasti apa nak dilakukan. Kalau dia tarik picu, saya takkan ada di sini menceritakan semua ini.

Saya keluarkan kad polis saya dan tunjuk pada mereka. Lelaki itu tengok kad itu dan serahkan pada seorang lagi askar. Mereka lepaskan saya.

Lega betul hati saya apabila menemukan ibu dan bapa masih ada di Klinik Reddy. Mereka pun lega apabila dapat tahu semua anak-anak mereka selamat. Kami balik ke Sekolah Teck Meng.

Hujan peluru

Menjelang pagi, kami perlu pertahankan Kampung Limau. Kami balik semula ke kampung dan berjaga di sepanjang sungai, sebab orang Melayu hanya tinggal di seberang sungai.

Kami pegang senjata, kerana kami perlu berhadapan dengan perusuh. Ada yang pegang parang, ada yang pegang paip air. Saya pegang gergaji. Ayah saya tukang kayu, jadi dia memang ada semua peralatan ini.

Saya terfikir, saya kan pegawai polis. Saya tak sepatutnya berada dalam situasi yang macam ini. Tapi apa lagi pilihan yang saya ada? Tiba-tiba, kedengaran bedilan senjata api, dan lelaki di sebelah saya tumbang. Dia kena tembak di perut.

Sebahagian daripada kami bawa dia ke Jalan Batu dan tahan sebuah ambulans yang lintas di situ. Saya dapat tahu kemudian yang dia dapat diselamatkan.

Apabila saya kembali ke sungai, saya dapati banyak tembakan senjata api bertalu-talu. Saya tak tahu datangnya dari mana - tenterakah? Atau orang kampung Melayu? Tapi kalau begitu keadaannya, kami memang takkan menang. Jadi kami berundur.

Apa kata kita bunuh saja, kata gangster Cina

Pertahanan kami sangat lemah. Pada waktu itulah sekumpulan ahli kongsi gelap datang dari Jalan Sultan. Sebahagian mereka memang pernah tinggal di Kampung Limau.

Ada dalam lebih kurang 10 ke 11 orang, tak ramai. Sesetengah daripada mereka kata, “Apa kata kita bunuh saja orang Melayu? Ada beberapa keluarga Melayu tinggal di sini”.

Bila saya dapat tahu tentang hal itu, saya terus pergi kepada mereka dan kata, “Saya rasa itu bukan idea yang bagus.

“Kalau kita tangkap mereka dan jadikan mereka tebusan, sekurang-kurangnya kalau ada orang Melayu dari seberang sungai serang kita, kita boleh boleh bawa mereka ini ke depan dan ugut untuk bunuh mereka”. 

Idea saya diterima dan pada masa itu, saya fikir, buat masa itu saya dah dapat selamatkan orang-orang Melayu ini. Tapi sampai bila? Saya tahu saya perlu bawa mereka keluar dari situ, tapi macam mana caranya? Ada dalam 20 ke 30 orang Melayu.

Mujur, mereka bernasib baik, saya nampak dua trak tentera di Batu Road. Kebetulan mereka ada betul-betul di depan saya. Saya tunjuk kad polis saya dan dan tahan trak itu. Saya ceritakan mereka apa yang terjadi, minta mereka selamatkan keluarga-keluarga Melayu ini.

Saya berlari di depan trak, tapi kena menyorok-nyorok juga. Saya tak nak ahli kongsi gelap lihat saya sebagai pengkhianat yang membantu trak tentera bawa lari tebusan.

Dari jauh, saya dapat lihat orang-orang Melayu itu masuk ke dalam dua trak tersebut dan mereka pun cabut. Lepas daripada itu, barulah saya keluar semula dari bersembunyi, berpura-pura macam tak ada apa-apa yang terjadi.

Tinggalkan Kampung Limau

Selepas membantu menyelamatkan keluarga-keluarga Melayu, saya perlu fikir tentang keselamatan diri pula. Saya sangat keletihan. Tak dapat makan, tak dapat tidur, saya pun tak tahulah saya punya tenaga, semangat dan keberanian datang dari mana. Yang saya tahu, saya kena minta bantuan.

Jadi saya lari ke Balai Polis Campbell, tapi seperti semalam, tempat itu masih huru-hara. Saya nampak seorang anggota polis di situ cuba membantu apa yang dia mampu. Saya kenal dia, Gilbert Ang.

Dia pernah menjadi ketua jabatan (yang mengendalikan urusan) kongsi gelap. Pada masa itu, kumpulan kongsi gelap memang masalah besar. Saya beritahu dia saya anggota polis percubaan, dan saya perlukan kenderaan untuk bawa keluarga saya keluar daripada bahaya.

Dia pandang ke arah saya, dan berkata, “Maaf, saya tak dapat tolong kamu”.

Jadi ketika itu, saya pun ambil keputusan untuk dedahkan kepadanya tentang apa yang saya pernah buat sebelum menyertai polis. 

“Kamu ingat bila kamu pernah jadi ketua jabatan kongsi gelap? Ada mamat ini yang hubungi kamu dan beri maklumat tentang aktiviti kongsi gelap kepada kamu? Beritahu kamu siapa yang terlibat dan maklumat bahawa mereka semua ini dari Kampung Limau?”

Dia jawab, “Ya. Saya ingat. Bagus maklumat yang dia bagi kepada kami dulu”.

Saya ingatkan dia bahawa pemberi maklumat tersebut tidak mahu bertemu dengannya, tapi dia ada maklumkan yang pangkal namanya ialah “FY”.

“Sayalah FY. Foong Yee.”

Terkejut Ang. Dia peluk saya dan tanya apa yang saya perlukan. Saya beritahu dia, saya perlu bawa keluarga saya keluar dari Kepong baru, dan saya juga beritahu ada juga orang Jinjang dan Kepong di Kampung Limau.

Selepas berjaya menyelamatkan diri semasa insiden Mei 13, Datuk Foong Yee terus berkhidmat dengan Polis Di-Raja Malaysia sehingga bersara pada tahun 2000, sebagai timbalan ketua polis Kuala Lumpur.

Ang beri saya satu bas. Bas Sri Jaya. Saya bawa bas itu ke Sekolah Teck Meng, dan orang di situ mula menyerang bas itu sebab mereka ingat orang Melayu datang serang mereka. Tapi bila mereka nampak saya, mereka pun bertenang.

Saya beritahu mereka, siapa yang tinggal di Kepong atau Jinjang boleh naik bas. Keluarga saya naik bas. Dalam bas, ada kira-kira 12 ke 13 orang. Ada keluarga saya (dalam enam ke tujuh orang), dan saudara-mara yang lain termasuk anak buah saya Nicholas - masa itu masih bayi- dan pengasuhnya yang bisu.

Saya terpaksa tinggalkan mereka yang lain di situ. Nombor satu bagi saya, saya perlu selamatkan keluarga saya dulu.

Baca artikel berkaitan

13 Mei, moga tak berulang

Kisah Mohsin dan Michael Chang setelah reda api 13 Mei

Menyelak rahsia untuk membantu mangsa 13 Mei atasi trauma

Kenangan 13 Mei: Dari rumah Datuk Harun ke Chow Kit

50 tahun insiden 13 Mei, di mana jalan perdamaian?

Pembunuhan dan haru-biru di Kampung Baru