Skip to main
Logo Malaysiakini

'Zahid pernah beri amaran kelewatan projek kem Hutan Melintang'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ahmad Zahid Hamidi pernah memberi amaran untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kontraktor jika mereka gagal menyiapkan kem tentera di Hutan Melintang pada Ogos 2017.

Menurut laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan & Kewangan Kerajaan berhubung projek 'land swap' melibatkan Kementerian Pertahanan, Zahid memberikan amaran itu pada mesyuarat khas yang dipengerusikannya pada 18 Julai 2017, atas kapasitinya sebagai timbalan perdana menteri ketika itu.

"Dia mengingatkan semua pihak terlibat untuk menyiapkan kem berkenaan sebelum atau dalam bulan Ogos 2017. Jika gagal tindakan akan diambil," kata laporan itu.

Hutan Melintang terletak di dalam kawasan parlimen Bagan Datuk, parlimen yang dimenangi Zahid buat kali keenam pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu dengan 5,041 majoriti undi.

Laporan jawatankuasa itu juga menyatakan bahawa wakil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bukan saja menghadiri mesyuarat berkenaan, namun tiga kali mengunjungi tapak projek.

Selain itu, wakil SPR juga berkata pendaftaran pengundi hanya boleh dilakukan pada Ogos atau September 2017, yang merupakan tarikh akhir untuk pendaftaran mengundi bagi PRU ke-14.

Menurut laporan itu, wakil SPR berkenaan menyorot beberapa kriteria yang perlu dipenuhi sebelum pendaftaran pengundi boleh dilakukan, termasuklah penyempurnaan kem, infrastruktur, termasuk pagar, dapur dan stor senjata.

"Kami mendapati penglibatan langsung SPR memindahkan 1,563 pengundi - 935 anggota tentera dan pasangan mereka dari Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu di kem Tambun, 628 tentera dan pasangan mereka dari Batalion ke-3 Rejimen Artileri Diraja kem Kamunting, ke kem Hutan Melintang," kata laporan itu.

Bagaimanapun, laporan itu menambah bahawa anggota tentera dipindahkan ke kem baru pada Ogos dan September 2017 tanpa Sijil Penyempurnaan dan Pematuhan (CCC) dikeluarkan.

Kem berkenaan hanya siap 42.4 peratus setakat Ogos tahun lalu. Sejak itu kerajaan mengarahkan anggota tentera yang bertugas di sana berpindah keluar.

Kem Hutan Melintang merupakan inisiatif sektor swasta seawal 2010, dan tidak disenaraikan dalam Rancangan Malaysia ke-10 dan Ke-11.

Usul asal untuk membina kem di kawasan itu ditolak kabinet yang tidak bersetuju dengan kaedah bayaran.

Pada 2015, pemaju lain mencadangkan untuk membina kem itu untuk menempatkan Batalion Infantri dan Rejimen Artileri Diraja. Projek berkenaan dianggarkan bernilai RM350 juta.

Zahid, dalam surat bertarikh 15 April 2016, mengarahkan Unit Kerjasama Awam-Swasta (Ukas) untuk mempercepatkan projek itu. Empat bulan kemudian, Zahid mengumumkan bahawa kerajaan sudah meluluskan projek berkenaan.

Bagaimanapun, pemaju kemudian menarik diri daripada projek itu susulan perubahan dalam urusan 'land swap'.

Pada Oktover 2016, sebuah lagi syarikat memohon sokongan kerajaan untuk melaksanakan projek itu melalui 'land swap', yang mana Zahid menjawab dengan "tiada halangan".

Zahid juga menulis dalam surat sama agar "projek perlu dilaksanakan dengan lancar".

Projek RM132 bilion itu kemudian diluluskan pada peringkat dasar oleh kabinet pada Feb 2017. Hasilnya, pemaju memperoleh 18.6 hektar tanah di Lahat, Perak dan Rasah, Negeri Sembilan.

[Baca berita asal]