Skip to main
Logo Malaysiakini

Perkongsian silang tamadun bina masa depan Asia

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

ULASAN | Saat laksamana Melayu tersohor, Hang Tuah menjejakkan kaki di China, beliau memerhatikan kekayaan negara tersebut yang dicerminkan dengan ribuan lorong-lorong di kota Hainam yang diperbuat dengan batu putih ‘sehalus kapas’ dan ditempa dengan lapisan batu putih bertatahkan jalur tembaga serta suasa.

Pusat bandar tersebut nampak meriah dengan ratusan pura yang terhias indah. Lukisan seni tersebut sangat halus mutunya sehingga terlihat seakan nyata.

Tatkala bertemu dengan maharaja pula, Hang Tuah memerhatikan takhtanya yang hebat lengkap dengan ukiran naga dari emas serta sisik dari sembilan jenis batu manikam. Malah, takhta tersebut ditatahkan dengan berlian yang digantung bersama mutiara bersinar seperti bulan mengambang.

Kemurahan hati empayar hebat ini turut ditonjolkan apabila maharaja memberi kurnia kepada delegasi Melayu. Selain itu, apabila delegasi yang sama dibuli dan diancam orang Portugis di pelabuhan, menteri maharaja telah memberi amaran keras kepada mereka. Inilah yang direkodkan karya Melayu klasik agung, Hikayat Hang Tuah yang ditulis lebih kurang 400 tahun dahulu.

Seperti nenek moyang sebelum saya, saya sendiri turut mengagumi pencapaian dan persahabatan yang ditunjukkan negara China dan saya berhasrat untuk menggunakan sepenuhnya lawatan ini bagi mendapatkan manfaat untuk negara saya serta hubungan dan persahabatan antara negara kita.

Mahathir ketika lawatan ke China.

Pada bulan lepas, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang mengadakan lawatan rasmi ke China, pulang membawa beberapa berita baik untuk Malaysia. Antaranya, perundingan semula jajaran projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang melibatkan pengurangan kos lebih 30 peratus dari RM65.5 bilion kepada RM44 bilion. Selain itu jajaran baharu yang diubah tidak akan melalui Kawasan Permatang Kuartza, Gombak yang telah disenaraikan dalam Senarai Tentatif Warisan Dunia Unesco dan merupakan permatang kuartza terpanjang di dunia.

Semangat diplomatik sebegini yang ditonjolkan China wajar dijadikan teladan kerana kita memasuki zaman di mana dunia menghasratkan keamanan serta kemakmuran bersama.

Hubungan Malaysia-China: Kawan masa susah dan senang

Seribu lima ratus tahun dahulu, wakil Dinasti Sui, Chang Jun telah melawat satu negeri kaya di Kelantan yang dikenali sebagai, Chi Tu Guo atau Kerajaan Tanah Merah.

Lawatan beliau disambut meriah dan tiga tahun kemudian, putera dari Chi Tu Guo telah berlayar ke China sebagai tanda menghormati Maharaja Yangdi. Peristiwa ini merupakan permulaan hubungan diplomatik selama 1,500 tahun antara dua negara kita.

Kedudukan Chi Tu antara abad kedua hingga ketujuh

 Perhubungan ini adalah hubungan saling menghormati, walaupun kedua-dua negara berbeza dari segi saiz dan kuasa. Mahathir sendiri pernah berkata, “Kita berjiran dengan China lebih 2,000 tahun tetapi kita tidak pernah dijajah mereka. Namun, apabila Eropah datang pada 1509, dalam masa dua tahun, kita sudah dijajah.”

Menjelang kurun ke-15, sekurang-kurangnya tiga sultan Melaka telah melawat China, sebagai membalas lawatan Laksamana Zheng He. Zheng He sendiri dikagumi dalam negara kita dan dikatakan bertanggungjawab dalam perkembangan Islam di Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Apabila pengembara dari Eropah, Lewis Westermanns melawat Melaka pada 1503, beliau dapati sultan Melaka mempunyai hubungan diplomatik yang baik dengan “sultan” China. Malah, pembangunan Melaka itu sendiri mendapat dana dari Maharaja Cina. Di sini kita lihat sendiri, versi awal “Belt and Road Initiative” di Malaysia, lebih 500 tahun dahulu.

Persahabatan lama ini tidak pernah putus, terutamanya apabila diaspora China yang mula-mula datang sebagai peniaga dan pekerja migran menjadikan Malaysia sebagai rumah mereka.

Dalam Hikayat Hang Tuah, Hang Tuah sendiri menyatakan bahawa beliau memahami budaya China melalui hubungannya dengan komuniti Cina di Melaka. Malah, beliau ada seorang bapa angkat keturunan Cina di Melaka.

Menjelang era moden, ahli falsafah Konfucius, Gu Hong Ming dilahirkan di Pulau Pinang, kemudian mengembara dan belajar di Eropah sebelum pergi ke China untuk menjadi sarjana Qing yang masyhur.

Reformis seperti pembesar Qing, Kang You Wei pernah bersuaka ke Pulau Pinang.

Selain itu, penggerak revolusi, Dr Sun Yat-Sen, bertemu penyokong terkuatnya dari kalangan nenek moyang kita di Tanah Melayu. Selepas beberapa cubaan untuk menumbangkan Kerajaan Qing, Dr Sun, telah mengadakan satu mesyuarat tergempar di sebuah rumah nombor 120, Lebuh Armenian, Pulau Pinang pada tahun 1910. Ini bagi meraih dana untuk Canton Uprising pada April 1911. Walaupun gagal, Canton Uprising menjadi pemangkin kepada Wuchang Uprising enam bulan kemudian yang berjaya menjatuhkan kerajaan Qing.

Sungguh besar sumbangan orang Cina di rantau ini sehingga Sun Yat Sen pernah memberi penghormatan kepada mereka sebagai “ibu relovusi”.

Inilah persahabatan antara kedua-dua negara ketika masa senang dan susah. Tiada satu pihak mengambil kesempatan atas pihak yang lain. Pertemuan antara ketamadunan kita bukanlah berteraskan hegemoni tetapi harmoni.

Ini mungkin selaras dengan konsep ‘Global Chorus’ yang dimajukan Presiden China Xi Jinping ketika beliau memperkenalkan Inisiatif Laluan Sutera Baharu (Belt and Road Initiative) pada Mac 2015.

Hala tuju ke hadapan

Apabila Jack Ma dari Alibaba datang ke Malaysia dua tahun lepas untuk mengumumkan Platform Dagangan Dunia elektronik, beliau telah merancakkan imaginasi ramai usahawan muda, terutamanya mereka yang ingin menyertai dan menyumbang dalam Industri 4.0.

Kerajaan Malaysia ketika itu menyahut cabaran dengan mewujudkan Zon Dagangan Bebas Digital pertama di dunia. Walaupun Malaysia mengalami perubahan kerajaan pada tahun lepas, projek ini tetap diteruskan. Malah Jack Ma datang ke Malaysia sekali lagi sebulan selepas perubahan kerajaan untuk melancarkan pejabat pertama Alibaba di Asia Tenggara. Beliau juga dilaporkan berkata Alibaba diinspirasikan dari Multimedia Super Corridor yang dimulakan Dr Mahathir pada 1990-an.

Bulan lepas, Malaysia dan China telah menandatangani Memorandum Persefahaman untuk meningkatkan bekalan minyak sawit Malaysia ke China. Menurut pemerhati industri, eksport minyak sawit Malaysia ke China dijangka akan meningkat kepada 2.26 juta tan pada 2019 jika dibandingkan 1.86 juta tan yang direkod pada 2018.

Minyak sawit, gambar hiasan

Dalam masa lima tahun akan datang, jumlah dagangan minyak sawit antara kedua-dua negara dianggarkan akan mencapai RM4.56 bilion berdasarkan harga purata AS$600 untuk setiap tan.

China telah menjadi rakan dagangan utama Malaysia untuk 10 tahun yang lepas. Jumlah dagangan dua hala tahun lepas yang direkodkan bernilai RM445 bilion. Melihat kepada unjuran kini, kita boleh menjangkakan masa depan yang lebih cerah dalam hal ini.

Bagaimanapun, elemen-elemen berikut perlu wujud dalam masa depan yang kita impiankan itu:

Pertama, ia mestilah berlandaskan tadbir urus yang baik. Kedua-dua pemimpin, Mahathir dan Presiden Xi Jinping merupakan penentang amalan rasuah dan salah guna kuasa. Inilah titik pertemuan kita dalam merencana masa depan bersama. Masa depan tanpa integriti dan moral, terutamanya dalam kalangan yang berkuasa akan membuka ruang terhadap penindasan golongan yang lemah.

Kedua, ia mesti berdasarkan pengalaman persahabatan kita sebelum ini iaitu “harmoni dan bukan hegemoni”. Kedua-dua negara mesti bekerjasama dalam satu nada dan bukan berdiri seorang diri.

Sejarah dan proses globalisasi telah membuktikan bahawa pentingnya untuk kita mencari kemakmuran bersama sesama negara dan bukan mengambil peluang atau eksploitasi.

Ketiga dan yang terakhir, Global Chorus harus melibatkan penyertaan anak muda. Forum Ekonomi Dunia (WEF) telah meletakkan belia sebagai 42 peratus daripada populasi dunia. Dengan kualiti pendidikan dan capaian kepada maklumat yang lebih baik, anak muda hari ini adalah lebih bijak daripada generasi anak muda generasi yang lepas. Oleh itu, tidak logik untuk mengecualikan mereka daripada turut sama membentuk masa depan.

Ketika laksamana-laksamana legenda kita, Hang Tuah dan Zheng He mengembara merentasi Laut China Selatan, mereka masih muda, mungkin tidak pun mencecah usia 40 tahun. Namun, naluri belia yang cenderung ke arah pandangan dunia yang kosmopolitan membenarkan laksamana muda ini untuk menerokai dan mempelajari budaya berbeza tanpa menghilangkan identiti mereka. Dengan mengambil semangat yang sama, kita harus memacu tenaga belia generasi ini untuk membentuk masa depan yang kita dikongsi bersama.




Artikel ini merupakan terjemahan Bahasa Melayu daripada ucapan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim Chee Keong di Persidangan Dialog Peradaban Asia di Beijing, China pada 15 Mei 2019.

Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.