Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis tak kaitkan aset dirampas dengan Jho Low, kata Najib

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Najib Razak hari ini menafikan laporan mendakwa pelbagai aset yang dirampas polis di dua kondominium mewah di Kuala Lumpur - termasuk lebih 10,000 barang kemas - dibeli ahli perniagaan buruan polis, Jho Low, menggunakan wang 1MDB.

Membuat penjelasan di media sosial bekas perdana menteri itu menjelaskan kebanyakan aset yang dirampas piha berkuasa itu diperolehi melalui hadiah kawan-kawannya atau kenalan dalam kalangan kerabat diraja - sama ada di luar atau dalam negara.

Katanya, aset itu dikumpulkan sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

Menurut Najib tindakan kerajaan mengemukakan notis pelucutan hak selepas ia disiasat setahun lalu menunjukkan aset serta dana yang dirampas itu tidak ada kaitan dengan jenayah.

"Pihak polis sudah menyiasat satu tahun dan tidak sekalipun mereka mendakwa aset-aset yang dirampas itu dibeli oleh saya dari sumber haram.

"Jika ada bukti bahawa aset dan dana itu diperolehi dari sumber haram atau rasuah, sudah tentu tindakan ke atas saya atau keluarga saya adalah tindakan jenayah.

"Sebaliknya, tindakan yang diambil oleh kerajaan PH adalah tindakan sivil untuk lucut hak, bukan jenayah," katanya.

Bukan dapat mesej saja

Najib menambah notis pelucutan hak yang difailkan beliau serta keluarga saya adalah berdasarkan dakwaan nilai aset yang dirampas tidak setara dengan jumlah pendapatan.

"Tidak sekalipun dalam notis itu ada sebut secara terperinci bahawa sebarang aset berkenaan dibeli oleh Jho Low ataupun dari dana 1MDB," katanya.

Jho Low, atau nama sebenarnya Low Taek Jho - ialah orang penting dalam skandal 1MDB yang dikaitkan dengan Najib serta dana syarikat pelaburan milik penuh kerajaan, 1MDB.

Sehingga kini Jho Low masih diburu pihak berkuasa banyak negara, termasuk Malaysia, bagi membantu siasatan mengenai penyelewengan wang 1MDB.


Baca Laporan: Polis temui kaitan Jho Low, barangan kemas dirampas


Najib dan keluarganya pernah dilihat bergambar bersama Jho Low pada suatu ketika dulu.

Pada 2016 Najib - yang ditekan dengan tuduhan salah guna kuasa - mendakwa menerima sumbangan peribadi RM2.6 bilion daripada salah seorang anggota bangsawan Arab Saudi.

Kata Najib bukan sesuatu yang aneh untuk beliau dan keluarganya menerima hadiah daripada kenalan atau kerabat diraja.

"Sebagai Orang Besar Berempat Pahang, anggota parlimen sejak 43 tahun lalu, bekas menteri, bekas timbalan perdana menteri dan bekas perdana menteri, saya berpeluang bertemu dan mengenali ramai rakan dan keluarga diraja dari dalam dan luar negara.

"Sepanjang tempoh itu, saya dan keluarga diberikan pelbagai hadiah di pelbagai acara seperti di majlis perkahwinan, sambutan ulang tahun atau hari jadi kenalan-kenalan ini," katanya.

Kenalan itu kata Najib, tidak sekadar menghantar mesej ucapan hari lahir melalui WhatsApp, Wechat atau kad ucapan bagi menzahirkan ucapan, mereka sebaliknya turut mengirim pelbagai hadiah.

"Perlu ingat bahawa perdana menteri ketujuh pada minggu lepas mengaku dihadiahkan 27 buah kereta semasa menjadi perdana menteri kali pertama.

"Selain itu, dia juga pernah mengaku menerima 40 kuda termasuk kuda yang harganya berjuta-juta ringgit daripada raja Arab Saudi.

"Maka tidak hairan saya dan keluarga saya juga diberi hadiah-hadiah oleh kawan-kawan atau kerabat diraja selama ini," katanya.

[Baca berita penuh]