'Dr Maszlee perlu terus fokus tingkat mutu pendidikan'
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik diminta tidak tunduk kepada kecaman sesetengah pihak berhubung isu kuota matrikulasi baru-baru ini, sebaliknya terus fokus kepada meningkatkan mutu pendidikan kepada semua pelajar tanpa mengira kaum selaras dengan kehendak falsafah pendidikan Negara.
Pengarah Media Bersatu Johor Mohd Solihan Badri, berkata kenyataan Maszlee begitu jelas dan tidak seharusnya dipolitikkan.
Sebaliknya, ia harus dianggap positif dan tulus dalam konteks tanpa menimbulkan sentimen perkauman, katanya dalam kenyataan hari ini.
“Kerajaan perlu mengekalkan status quo nisbah pengambilan pelajar program matrikulasi pra-universiti di institut pengajian tinggi awam selaras dengan hasrat awal penubuhannya bagi memberi peluang kepada golongan sasar sebenar untuk mengikuti kursus penting yang ditawarkan,” kata Mohd Solihan.
Menurutnya, kuota kemasukan pelajar ke matrikulasi bukan isu utama kerana persaingan terbuka berteraskan meritokrasi sama ada dari lepasan matrikulasi atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan lain-lain saluran setaraf, merupakan amalan yang telah lama dipraktikkan tanpa menafikan peluang mana-mana pelajar untuk melanjutkan pelajaran.
“Ketegasan Maszlee mengekalkan 90 peratus kemasukan Bumiputera ke program matrikulasi amat disanjung kerana ia adalah selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan merupakan usaha bagi membantu golongan Bumiputera agar mereka terus mendapat peluang ke universiti terutamanya untuk mempelajari bidang sains dan teknologi.
“Ia juga sebagai pemangkin untuk menjadikan Malaysia sebuah negara inklusif serta saksama di mana semua rakyat berpeluang meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi,” katanya.
Maszlee didesak beberapa pemimpin dari MCA, Gerakan dan DAP yang menuntut anggota parlimen Simpang Renggam itu memohon maaf dan menarik balik kenyataannya yang mengaitkan isu kuota matrikulasi dengan bahasa Mandarin sebagai syarat mendapat pekerjaan.
Jumaat lepas, Maszlee berkata sistem kuota akan diteruskan sehingga kerajaan berjaya mengatasi masalah ketidakseimbangan pelajar di pusat pengajian tinggi, dan sehingga pasaran kerja menjadi lebih adil dalam pengambilan graduan Bumiputera.
Buat masa ini, katanya pasaran kerja turut mendiskriminasi mereka yang tidak tahu berbahasa Mandarin dan juga kerana memakai tudung.
Sebelum itu, Kementerian Pendidikan membuat keputusan mengekalkan kuota 90 peratus kemasukan Bumiputera dan 10 peratus bukan Bumiputera bagi program matrikulasi.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai