Isu matrikulasi: Tak patut pemimpin PH 'tembak-menembak'
Kritikan membina sememangnya diperlukan dalam kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dan sikap gemar 'tembak menembak' dalam kalangan pemimpin parti sudah tidak patut berlaku kerana gabungan itu kini dalam kerajaan dan bukan lagi pembangkang.
Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata isu berhubung kuota matrikulasi misalnya sudah diputuskan kabinet dan perkara berkaitannya hanya boleh dibincangkan dalam Kabinet.
"Isu ini sudah dimuktamadkan melalui keputusan konsensus dalam jemaah menteri dan ini merupakan keputusan bersama dan kalau DAPSY (Pemuda DAP) tidak setuju, mereka boleh tanya menteri mereka dalam jemaah menteri.
"Perkara seperti ini harus dibincang dalam kabinet sebab kita sekarang dalam kerajaan, bukan lagi pembangkang... tembak menembak ini sudah tidak patut berlaku," katanya kepada pemberita selepas program konsultasi dan majlis berbuka puasa bersama belia di Kubang Rotan dekat Alor Setar, hari ini.
Beliau mengulas tindakan beberapa pemimpin DAP, Gerakan dan MCA yang mengecam Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berhubung kenyataannya yang mengaitkan isu kuota matrikulasi dengan kehendak majikan yang mengutamakan calon fasih bahasa Mandarin.
Syed Saddiq berkata apa yang penting setiap keputusan yang dibuat adalah untuk memastikan semua pihak khususnya nasib anak-anak muda dalam golongan B40 terbela.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai