Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Pelaburan tak sepatutnya hanya fokus sesuatu negeri’

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pemuda Amanah mengharapkan supaya pelaburan langsung asing dapat dinikmati oleh semua negeri termasuk yang ditadbir oleh pihak pembangkang.

Timbalan Ketua Pemudanya, Faiz Fadzil berpendapat, pelaburan asing dan domestik tidak sepatutnya ditumpukan kepada negeri tertentu sahaja.

Faiz berkata Dasar Pelaburan Negara perlu diwujudkan bagi memberi fokus terhadap pelaburan domestik dan pelaburan langsung asing.

“Pelaburan asing dan domestik tidak sepatutnya fokus kepada sesuatu negeri tertentu, agar semua rakyat Malaysia dapat merasai kesan positif pelaburan swasta di negara ini.

“Infrastruktur dan insentif yang sesuai perlu diwujudkan di semua negeri bagi menggalakkan aktiviti pelaburan dalam semua sektor, termasuk pertanian moden,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang mengharapkan agar kerajaan menggalakkan inisiatif peningkatan pelaburan negara itu, menyarankan supaya kerajaan memperkenalkan beberapa inisiatif atau insentif yang baru untuk meningkatkan penyertaan para pelabur di pasaran saham tempatan.

“Selain itu, diharapkan agar niat memperkenalkan sebarang cukai terhadap pasaran saham, jika ada, ditangguhkan sehingga prestasi Bursa Malaysia kembali stabil.

“Menerusi pendekatan propelabur ini, Malaysia diyakini akan terus kekal di landasan ekonomi yang betul,” katanya.

Adun Permatang Pasir itu berkata, kejayaan kerajaan dalam meningkatkan pelaburan asing itu sacara tidak langsung mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, khususnya pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Peningkatan FDI secara mendadak ini menunjukkan bahawa keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia telah meningkat secara signifikan selepas Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan negara,” katanya.