Skip to main
Logo Malaysiakini

Dana biasiswa khas untuk pelajar Palestin dari universiti

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Dana penajaan biasiswa khas daripada 12 universiti bagi 'Biasiswa untuk Palestin' untuk anak-anak Palestine melanjutkan pengajian peringkat tinggi di Malaysia adalah daripada sumber kewangan universiti masing-masing, kata Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir.

Dua belas universiti itu melibatkan 11 universiti swasta dan satu universiti awam, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Universiti terlibat ialah Albukhary International University dengan tajaan RM3.5 juta melibatkan 25 biasiswa; Management & Science University dengan tajaan RM1.1 juta (27 biasiswa); Mahsa University tajaan RM1.09 (20 biasiswa); Kolej Universiti Islam Perlis tajaan RM1.02 juta (15 biasiswa); City University RM1 juta (26 biasiswa).

Multimedia University dengan tajaan RM1 juta (enam biasiswa); UCSI University tajaan RM719, 433 (lima biasiswa); Universiti Teknologi Petronas tajaan RM681,500 (enam biasiswa); Universiti Tenaga Nasional tajaan RM575,000 (tiga biasiswa); Universiti Kuala Lumpur RM158,400 (dua biasiswa) dan Universiti Utara Malaysia RM128,000 (dua biasiswa).

"Menyedari bahawa dana untuk penajaan itu adalah daripada sumber kewangan universiti masing-masing, JPT ingin menzahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada kesemua 12 universiti atas sumbangan yang besar nilainya dalam lanskap pendidikan tinggi negara dan berharap semangat ini dicontohi oleh institusi pengajian tinggi yang lain," katanya.

Siti Hamisah berkata adalah menjadi kelaziman kepada universiti-universiti tempatan untuk menawarkan biasiswa pada setiap tahun sama ada kepada pelajar Malaysia atau pelajar antarabangsa.

Menurutnya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini sahaja universiti-universiti swasta di negara ini telah menawarkan biasiswa bernilai lebih RM100 juta kepada pelajar-pelajar tempatan.

Albukhary International University pula adalah sebuah universiti swasta di Malaysia berlandaskan konsep ‘philanthropy’ atau demawan yang menawarkan biasiswa kepada pelajar-pelajar dari negara yang dilanda peperangan agar mereka dapat pulang dan membangunkan semula negara masing-masing, katanya.

Katanya usaha murni tersebut telah menarik minat universiti-universiti swasta yang lain dan dipanjangkan kepada pelajar-pelajar Palestin.

Ini, katanya menunjukkan komitmen dan keprihatinan universiti-universiti terbabit dalam meningkatkan kecemerlangan akademik bukan hanya di unversiti masing-masing tetapi juga memberi peluang kepada anak-anak Palestin berpotensi untuk mengembangkan ilmu di menara gading.

"Kesudian universiti-universiti berkenaan menawarkan biasiswa kepada anak-anak Palestin pada 22 Mei 2019 bersempena bulan Ramadan yang mulia ini merupakan inisiatif khas melambangkan solidariti warga pendidikan tinggi dalam misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin yang tertindas,” katanya.

Pada satu majlis berbuka puasa bersama komuniti Palestin di Putrajaya semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Malaysia bersetuju menawarkan biasiswa bernilai RM11.48 juta kepada pelajar Palestin bagi menyambung pengajian di 12 universiti di Malaysia.

- Bernama