Skip to main
Logo Malaysiakini

Mapim rasa diperlekeh kerajaan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kerajaan didakwa memperlekehkan institut memandu di negara ini apabila memberikan mereka tempoh hanya 10 hari untuk menyediakan modul pembelajaran kursus lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV) utuk pemandu perkhidmatan e-kelui (e-hailing).

Presiden Majlis Piawaian dan Pemodenan Industri Memandu Malaysia (Mapim) Hanafi Mat Zin berkata tempoh yang diberikan itu terlalu singkat.

Katanya untuk membangunkan sistem dalam talian bagi pembelajaran buat calon pemegang lesen PSV perkhidmatan e-kelui, masa lebih panjang diperlukan.

"Kami memerlukan masa sekurang-kurangnya dua bulan,” katanya pada sidang media di Hulu Langat hari ini.

Sidang media itu diadakan sebagai cara Mapim mendesak kerajaan mengkaji semula kelulusan yang diberikan kepada syarikat e-kelui kerana tidak mengikut peraturan.

Mereka juga, kata Mapim, tidak mempunyai kelayakan untuk mengendalikan kursus tersebut.

Menurut Hanafi, tindakan kerajaan menyerahkan pengurusan lesen tersebut kepada syarikat yang bukan institut memandu juga dianggap melanggar peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya tindakan kerajaan itu tidak wajar kerana dibuat secara tiba-tiba.

Sedangkan, katanya, mereka sudah melakukan tugasan tersebut selama lebih 20 tahun.

“Kebanyakan mereka (syarikat pengurusan lesen) adalah syarikat sendirian berhad dan tidak dilesenkan mengikut keperluan undang-undang sedia ada," katanya.

Justeru kata Hanafi Kementerian Pengangkutan mesti menarik balik arahan tersebut supaya ia tidak melanggar mana-mana peraturan.

Pada 17 Mei lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengumumkan pihak kerajaan akan memberi kelonggaran kepada pemandu e-kelui untuk menjalani kursus dalam talian bagi mendapatkan lesen PSV sebelum 12 Julai.

Bagaimanapun, kebenaran itu diberi bersyarat iaitu pemandu e-kelui perlu menghabiskan kursus yang diperuntukkan iaitu selama 6 jam.