Pemikiran setem 80sen
ULASAN | Saya menyahut seruan Dr Mujahid Yusof untuk melawan pemikiran sempit yang wujud di kalangan umat Islam di negara ini. Dan tidak ada yang lebih layak untuk dilawan dalam hal ini melainkan kumpulan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).
Kesempitan yang dibawa oleh kumpulan ini pada saya sudah menjurus kepada sifat ekstrem dalam berfikir dan bergaul sesama manusia.
Sampai satu tahap itu saya nak tahulah juga apa yang ada dalam otak mereka apabila mengeluarkan kenyataan atau pendirian yang sempitnya mengalahkan katak di bawah tempurung.
Kenapa saya kata Isma layak dilawan pemikirannya yang sempit itu?
Kita lawan mereka
Pertama, prinsip eksklusiviti dalam mengamalkan ajaran Islam adalah DNA suci kumpulan Isma. Tengok sendiri bagaimana presidennya membesarkan isu setem gereja yang kononnya akan membuatkan negara kita akan dilabel sebagai negara Kristian.
Tapi, akhirnya kenyataan itu terpaksa dipadam dan saya yakin ia dipadam kerana setem tersebut dikeluarkan pada tahun 2016 iaitu sewaktu kerajaan pimpinan UMNO/BN berkuasa.
Baca: Setem gereja: Presiden Isma padam hantaran, mohon maaf
Kalau betul setem itu dikeluarkan selepas 9 Mei 2018, rasanya akan dibuat satu perhimpunan kebangkitan ummah kerana setem tersebut.
Kebetulan, sekitar Februari 2016 juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada waktu itu Dr Asyraf Wajdi mengaku bahawa kerajaan memberi dana untuk membantu kumpulan-kumpulan Islam di Malaysia termasuklah Isma.
Tak hairan, ketua pemuda Umno sekarang akan sentiasa ada dalam Perhimpunan Kebangkitan Ummah yang turut dihadiri oleh Isma dan kumpulan-kumpulan Islam yang lain.
Cumanya saya nak cadangkan supaya kerajaan sekarang dedahkan berapa banyak duit yang telah diberikan kepada Isma oleh kerajaan sebelum ini.
Pasti ada rekod pemberian kerana duit tersebut bukannya duit peribadi tetapi duit kerajaan dan satu Malaysia tahu bahawa salah satu sumber duit kerajaan adalah daripada cukai yang dikenakan kepada rakyat.
(Soalan kepada Isma: Boleh ke pakai duit daripada cukai yang dibayar oleh bukan Islam?)
Saya juga ingin tahu sama ada Isma masih lagi menerima dana daripada kerajaan Pakatan Harapan atau tidak.
Prinsip eksklusiviti ini juga laris diniagakan oleh Isma melalui media sosial. Saya terjumpa satu tweet daripada exco penerangan dan kajian pemuda Isma yang mengatakan:
“Pendekatan Isma adalah merubah status seorang individu atau sebuah negara dari beridentiti bukan Islam kepada identiti Islam. Bahkan menjadi agenda untuk mengekalkan identiti individu dan negara Islam. Maka tidak pelik jika ia sering disanggah oleh gerakan Liberal dan non Muslim”
Kalau betul ini prinsip yang dianuti oleh Isma, maka ada dua kesimpulan yang boleh dibuat:
Pertama, Isma mahu mengubah semua rakyat Malaysia menjadi orang Islam dan negara Malaysia menjadi negara Islam; dan
Kedua, siapa yang tak sempit pemikiran macam Isma, mereka adalah golongan liberal dan bukan Islam.
Saya tak tahulah kalau dua kesimpulan ini belum cukup jelas menunjukkan betapa ekstrem dan taksubnya perjuangan kumpulan Islam yang satu ini.
Kemahuan mereka ini akan didorong dengan prinsip us against them (kita lawan mereka) dan seolah-olah memaksa semua orang untuk memenuhi kehendak-kehendak tersebut.
Dalam kata lain, hanya Islam yang difaham oleh Isma sajalah yang betul dan semua orang wajib ikut apa yang mereka faham.
Tafsiran karipap angin
Kedua, teknik penjualan pemikiran sempit Isma adalah dengan mempromosikan ketakutan bahawa umat Islam terancam dan kerajaan tidak peduli dengan realiti ini.
Perniagaan ini ditambah lemak manisnya dengan tafsiran yang dahsyatnya boleh mengalahkan kedahsyatan keenakan karipap angin di bazar Ramadan ketika ini.
Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan ditafsir untuk menghalalkan prinsip eksklusiviti mereka itu seolah-olah dalam perlembagaan cuma ada Perkara 3 sahaja.
Lupa mereka untuk membaca kes Che Omar Che Soh yang telah berusia lebih 30 tahun di mana kes ini dengan terperinci menafsirkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
Mungkin mereka juga lupa akan kewujudan peruntukan-peruntukan lain seperti Perkara 4 Perlembagaan yang menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang yang tertinggi dalam negara ini.
Dan ini termasuklah bidang kuasa mahkamah Syariah di Malaysia adalah berpunca daripada peruntukan 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.
Dalam kata lain, kalau tak ada peruntukan itu dalam perlembagaan, maka tidak adalah Mahkamah Syariah di negara ini.
Kalau tuan puan yang sedang membaca tulisan ini mahu huraian yang lebih lanjut, bacalah kes Indira Gandhi yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada tahun 2018 dan bukannya merujuk kepada tafsiran perlembagaan versi Isma.
Biar kulitnya Islam
Ketiga, menerusi tulisan presiden Isma dalam kolum di Malaysiakini, dapatlah kita baca bahawa Islam itu terancam salah satunya kerana jawatan-jawatan penting seperti peguam negara telah diberikan kepada orang bukan Islam.
Nak cerita panjang pun tak guna jadi saya tanyakan satu soalan sajalah kepada beliau:
Semasa jawatan peguam negara itu dipegang oleh orang yang beragama Islam dan dia membersihkan perdana menteri keenam pada masa itu daripada tuduhan skandal 1MDB, adakah itu tidak mengancam Islam di negara ini? Bersekongkol dengan orang yang menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan sendiri?
Lebih hina apabila institusi-institusi yang diwujudkan untuk menjaga kepentingan umat Islam dijarah bagai nak gila tapi haram Isma tak buat perhimpunan kebangkitan ummah untuk menyedarkan umat Islam akan hal-hal seperti ini.
Bagi Isma, biarlah kulit itu Islam tetapi kalau isinya tidak islamik (pecah amanah, curi duit rakyat dan sebagainya) maka tak apa untuk pejam mata. Janji yang buat itu sesama Islam.
Pendirian sebegini, menurut saya, hanya akan melingkupkan agama dan menjadikan Islam itu dipandang hina bukan sahaja oleh orang bukan Islam tetapi orang Islam dari pelosok dunia.
Kalau Isma betul-betul memperjuangkan nasib Islam di negara ini, maka saya cabar agar perhimpunan kebangkitan ummah selepas ini dibuat untuk menzahirkan protes dan bantahan kepada perbuatan terkutuk pemimpin kerajaan terdahulu yang sudah menjahanamkan institusi-institusi yang diwujudkan untuk menjaga kepentingan umat Islam di negara ini.
Buanglah topeng hipokrit itu dan ambillah prinsip “malu apa bosku” dalam melawan penjarahan duit umat Islam yang dibuat oleh pemimpin Islam sendiri sebelum ini.
Saya akhiri tulisan kali ini dengan sebuah peribahasa yang ditujukan khas kepada Isma sebagai tanda perlawanan saya terhadap pemikiran sempit nan ekstremis yang dianuti mereka:
Kalau iman senipis setem lapan puluh sen, janganlah nak mendakwa diri pembela Islam di negara ini.
Salam Ramadan.
ZHARIF BADRUL ialah seorang graduan undang-undang yang telah didaftaraikan sebagai peguam cara dan peguam bela, aktivis politik, penulis novel dan berkicau ikut keperluan di twitternya @zharifbadrul6.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai