Isu matrikulasi: Maszlee teliti cadangan ketua pemuda DAP
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik memaklumkan pihaknya sedang meneliti cadangan yang dikemukakan Ketua Pemuda DAP Howard Lee kepadanya berkaitan isu matrikulasi.
Hal ini, kata Maszlee telah diusulkan Howard dalam pertemuan yang berlangsung di pejabatnya di Putrajaya beberapa minggu lalu.
"Malah setiap cadangan yang diberikan oleh saudara Howard ini sedang diteliti dengan lebih lanjut oleh Kemeterian Pendidikan Malaysia (KPM).
"Pandangan dengan idea konkrit dan bernas sudah tentu akan menggalakkan lebih banyak perbincangan bermanfaat untuk rakyat di negara ini dan usaha serta pemikiran rasional seperti saudara Howard akan membantu KPM memberikan yang terbaik buat semua anak-anak Malaysia," kata menteri pada suatu kenyataan hari ini.
Menurut Maszlee perbincangan itu berlangsung sopan, menunjukkan gaya poitik matang Howard.
"Beberapa minggu lalu... Howard Lee Chuan How telah datang menemui saya di pejabat dan kami berbincang mengenai isu berkaitan matrikulasi dan pendidikan tinggi negara.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana tampil dengan penuh adab dan sopan serta memberikan pandangan-pandangan yang menarik bagi membantu KPM.
"Saya amat meraikan gaya politik matang seperti yang ditunjukkan beliau," katanya lagi.
Menteri pendidikan mengulas lima cadangan yang diusulkan Howard yang juga exco Perak kepadanya.
Menjelaskan lanjut, Maszlee berkata beliau terbuka dalam menilai cadangan yang wajar bagi meningkatkan sistem pendidikan negara.
Pada 22 Mei lalu, Howard telahpun menyenaraikan lima cadangan berkenaan yang diyakininya akan dibincangkan dengan mendalam oleh jemaah menteri.
"Saya yakin perkara ini akan dibincangkan secara mendalam dalam kabinet negara," katanya.
BACA BERKAITAN:
Isu matrikulasi: 5 cadangan Pemuda DAP
Isu matrikulasi: Pemimpin PH tak patut 'tembak-menembak' - Syed Saddiq
Bulan lalu, kabinet bersetuju untuk menambah kemasukan program matrikulasi sebanyak 60 peratus daripada 25,000 pelajar kepada 40,000 orang.
Kemasukan ke program tersebut dibuat berdasarkan kuota 90 peratus untuk bumiputera dan selebihnya untuk bukan bumiputera.
Hal ini mendapat maklum balas luas antaranya daripada bekas pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Daim Zainuddin yang dipetik laporan media berkata program matrikulasi sudah tidak relevan lagi kerana tujuan asal bagi mengimbangi agihan kaum di universiti sudah ditangani.
Bagaimanapun, Daim menjelaskan pembangkang akan menjadikan ia sebagai isu untuk mengkritik PH sekiranya matrikulasi dihapuskan.
Terdapat juga pihak yang mengkritik program tersebut kerana menggalakkan diskriminasi dan boleh menghalang lepasan STPMmemasuki universiti awam.
Bagaimanapun, kenyataan Menteri Pendidkan Dr Maszlee Malik yang mengaitkan aspek kuota kaum untuk kemasukan program matrikulasi dengan ketidakadilan ke atas golongan Melayu dalam memohon pekerjaan di sektor swasta tidak disambut dengan baik oleh sesetengah pihak, termasuk pemimpin DAP.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai