Peguam persoal waran tangkap terhadap Hasanah
Peguam Shahrudin Ali mempersoalkan waran tangkap dikeluarkan terhadap anak guamnya yang juga bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (Meio) Hasanah Abdul Hamid kerana gagal hadir pada pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.
Shahrudin berkata, undang-undang mengkehendaki kehadiran tertuduh semasa perbicaraan namun pengurusan kes pula merupakan proses pra-perbicaraan.
"Bagaimana waran tangkap dikeluarkan untuk memaksa kehadiran tertuduh pada pengurusan kes, sebagai contoh, untuk menetapkan tarikh?
"Kenapa kamu perlu melihat tertuduh di mahkamah untuk amalan selama tiga minit ini antara timbalan pendakwa raya dan peguam?
"Selain itu, mengapa perlu ditahan sedangkan tertuduh telah membayar wang ikat jamin? Mahkamah membenarkan ikat jamin hanya jika mahkamah pasti tertuduh tidak akan melarikan diri atau hilang pada perbicaraan!" katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahkamah semalam mengeluarkan waran tangkap terhadap Hasanah yang dituduh pecah amanah melibatkan wang kerajaan berjumlah RM50.4 juta kerana gagal hadir semasa pengurusan kesnya.
Azam Aziz Shaharudinali & Co yang mewakili Hasanah berkata anak guamnya terlupa tarikh pengurusan kes dan firma undang-undang itu juga terlupa untuk mengingatkannya.
Shahrudin, dalam satu kenyataan hari ini, menegaskan bahawa pengurusan kes bukan merupakan perbicaraan.
"Yang terlibat dalam pengurusan kes adalah peguam dan timbalan pendakwa raya. Bukan tertuduh.
"Malah, dalam kes Hasanah, tarikh perbicaraan telah ditetapkan pada 3 Feb tahun depan. Hasanah tidak pernah gagal hadir di mahkamah sebelum ini, sama ada pengurusan kes atau tidak.
"Mengapa perlu untuk menangkap beliau untuk pengurusan kes selama beberapa minit ini?" katanya.
Hasanah menghadapi tuduhan pecah amanah melibatkan RM50.4 juta wang milik kerajaan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 30 April dan 9 Mei 2018.
Tuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan boleh membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai