Skip to main
Logo Malaysiakini

Kenali pejuang Palestin Sh Khalid Masy'al

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

GLOBAL | Mengenali susuk Sh Khalid Masy'al ini sejak lebih 25 tahun yang lalu. Tokoh penting perjuangan untuk memerdekakan bumi Palestin yang dijajah Israel dengan bantuan British di awalnya dan kuasa-kuasa lain. 

Nama Khalid Masy'al antara tiga tonggak penting Pergerakan Hamas, Palestin selepas pemimpin utamanya yang hanya berkerusi roda, Sheikh Ahmad Yasin dan timbalannya Dr Abdul Aziz Rantisi. 

Khalid Masy'al sebagai ketua biro antarabangsa Hamas yang banyak mengeluarkan kenyataan rasmi mewakil Hamas dan Palestin ketika itu.

Pada 2004 Israel telah membunuh Sheikh Ahmad Yasin menggunakan peluru berpandu. Hamas mengumumkan penggantinya Dr Abdul Aziz Rantisi. 

Namun selang beberapa minggu, Rantisi pula dibunuh oleh Israel menggunakan cara yang sama. Semenjak daripada itu, Hamas tidak mengumumkan lagi siapa pemimpin utama mereka. 

Namun umum menganggap dan merasakan bahawa Khalid Masy'al lah sebagai pemimpin utamanya.

Beliau bergerak dan menetap di luar negara bagi menggerakkan sokongan antarabangsa terhadap pembebasan Palestin. 

Ketika menetap di Jordan, pada tahun 1997 beliau telah diserang oleh dua agen perisikan Mos'ad Israel menggunakan pisau beracun.

Namun beliau berjaya diselamatkan dan dua pembunuh tersebut telah ditangkap oleh pihak berkuasa Jordan. Peristiwa ini menimbulkan ketegangan di antara Jordan dan kerajaan haram Israel.

Oleh kerana dikatakan kedua-dua agen Israel tersebut adalah orang penting kepada mereka, maka Israel menuntut pembebasan keduanya dan selepas daripada itu dikatakan berlaku pertukaran tahanan penjara yang dibebaskan.

Antaranya Sheik Ahmad Yasin dibebaskan setelah bertahun tahun merengkok dalam penjara Israel dalam keadaan badannya yang lumpuh serta dibebaskan juga beribu tahanan Palestin dan Jordan yang lain.

Khalid Masy'al berpindah ke Damascus, Syria dan menetap di sana serta menjadi salah satu pejabat penting pergerakan Hamas di luar Palestin. Apabila tercetusnya peperangan di Syria pada tahun 2011, Khalid berpindah ke Qatar sehingga ke hari ini.

Pergerakam Hamas yang ditubuhkan pada tahun 1987 bertujuan untuk menyatukan rakyat Palestin bagi menggerakkan usaha membebaskan Palestin daripada jajahan Israel.

Apabila Israel menggunakan senjata membunuh rakyat Palestin dan merobohkan perkampungan perkampungan mereka, Hamas melawan mereka dengan persenjataan.

Apabila demokrasi dibuka di Palestin, Hamas menyertai pilihan raya dan mendapat kemenangan.

Tidak banyak negara di dunia berani untuk menyatakan sokongan kepada perjuangan Palestin atas nama kerajaan.

Keberanian dan ketegasan Malaysia atas nama kerajaan terhadap kekejaman Israel memberi nafas baru kepada rakyat Palestin. 

Selain bersuara secara terbuka di sidang PBB, Malaysia juga sanggup dibatalkan penganjuran sukan paralimpik dunia disebabkan menghalang pemain Israel hadir ke Malaysia.

Usaha ini bukanlah segera memberi kesan kepada pembebasan Palestin, tetapi ia suatu sumbangan dan dokongan yang bermakna kepada rakyat Palestin dan sokongan Malaysia terhadap Palestin merentasi perbezaan parti parti politik.

Kehadiran Khalid Masy'al ke Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Pertahanan Malaysia membuka demensi baru bukan sahaja kepada Palestin tetapi juga terhadap keamanan dunia yang sangat dihajatkan oleh semua pihak.


MOHD NASAIE ISMAIL ialah pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda Amanah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.