Skip to main
Logo Malaysiakini

Wan Saiful: Debat hak bumiputera bukan keutamaan ketika ini

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata mendebatkan hak bumiputera bukanlah keutamaan negara ketika ini yang menurutnya sedang berhadapan pelbagai cabaran.

Menegaskan bahawa hak bumiputera dijamin dalam perlembagaan, Wan Saiful yang juga merupakan pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membidas kumpulan yang disifatkannya ghairah menimbulkan isu hak bumiputera.

"Perkara ini (hak bumiputera) telah termaktub dalam perlembagaan dan ia tidak perlu diperdebatkan langsung.

"Usaha sesetengah pihak yang sengaja mahu menimbulkan isu-isu hak bumiputera yang telah dijamin oleh perlembagaan ini adalah satu perkara yang perlu dibendung.

"Ia bukan keutamaan negara, apatah lagi dalam keadaan ia hanya akan menimbulkan perbalahan yang tidak berkesudahan," katanya.

Dalam kenyataan sama, Wan Saiful turut menyarankan pengkritik Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik untuk mengkaji keperluan rakyat terbanyak di Malaysia hari ini.

Jelas Wan Saiful, mengambil kira situasi semasa negara ketika ini, "isu-isu hak" dipersoal sewenangnya.

"Jangan terperangkap dalam kepompong kecil anda sahaja. Keperluan mendesak hari ini bukanlah untuk isu-isu hak ini dipersoal dengan tak semena-mena.

"Tetapi kita perlu fokus kepada isu yang menyentuh kehidupan seharian rakyat terbanyak.

"Cukuplah bermain dengan isu-isu sensitif. Janganlah tersalah, atau sengaja salah, pilih isu kerana hasilnya nanti negara akan lebih berpecah belah kerana tindakan anda," katanya.

Dalam mempertahankan kuota matrikulasi yang dikekalkan pada kadar 90:10 baru-baru ini, Maszlee berkata sekiranya kuota itu hendak diubah, syarat berbahasa Mandarin dalam peluang pekerjaan juga perlu dihapuskan.

Susulan itu, Maszlee mendapat kritikan termasuk daripada pemimpin Pakatan Harapan.