Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemuda PAS negeri kecam aktivis PH didakwa fitnah Kelantan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan Razuan Awang Hamad hari ini mengecam tindakan seorang pemegang akaun Facebook melampirkan gambar bagi menggambarkan masalah air di Kelantan.

Harakah Daily menerbitkan kenyataan Razuan mendakwa gambar-gambar yang dimuat naik oleh aktivis politik Pakatan Harapan (PH) itu dianggap berniat jahat bagi memburukkan kerajaan negeri.

"Pegawai khas kepada pengerusi sebuah agensi kerajaan pusat itu sengaja mewujudkan persepsi jahat yang cuba dikaitkan kerajaan negeri Kelantan dengan melampirkan beberapa gambar di Facebooknya.

“Benar Kelantan mengalami masalah air di beberapa kawasan namun perlu disedari masalah serupa juga dihadapi negeri-negeri lain," kata Razuan.

Terdahulu, seorang pemegang akaun Facebook dikenali sebagai Abdullah Zawawi Ibnu Wahab, dipercayai setiausaha kerja Parti Amanah negeri Kelantan memuat naik beberapa keping gambar di mana menujukkan air kotor bagi menjelaskan masalah air di Kelantan.

"This is Kelantan. Selamat mandi air ajaib ni wahai perantau...Sudah suratan takdir kan ust Wan Lukman Ws," tulis beliau secara ringkas.

Bagaimanapun, Razuan yang juga Ketua Pemuda PAS Machang berkata gambar yang dimuatnaik adalah berasal daripada negara jiran.

“Adalah tidak wajar semata-mata mempolitikkan isu air dengan menyebar maklumat palsu sehingga boleh menimbulkan persepsi jahat dan mencetuskan ketegangan dalam kalangan rakyat."

Tambahnya, tuduhan dan fitnah dilemparkan ketika umat Islam di seluruh dunia sedang berlumba-lumba memperbanyakkan amalan pada 10 hari terakhir Ramadan.

Beliau turut menyeru pemuda parti supaya kembali menghayati ibadah di bulan mulia ini dan menjauhi perkara-perkara fitnah yang diibaratkan lebih teruk daripada membunuh.